MELAKA: Sebanyak lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat bakal menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan majoriti lebih besar ataupun Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat kembali mentadbir kerajaan negeri.
Kerusi-kerusi itu ialah Kuala Linggi, Lendu, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Pantai Kundor dan Kelebang yang kesemuanya disandang BN.
Lima daripada kerusi berkenaan iaitu Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Kelebang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Walaupun berjaya ditawan semula BN pada PRN Melaka 2021, kesemuanya dimenangi dengan majoriti tipis bawah 1,000 undi.
Rata-rata setiap kerusi itu mempunyai isu tersendiri seperti protes dalaman, isu calon luar dan sokongan ahli Pas. Ia sekali gus menjadikan setiap daripadanya dilihat sebagai kerusi ‘kelabu’ menjelang hari pengundian esok.
Sebagai contoh, di Kelebang, penyandang kerusi, Datuk Lim Ban Hong berdepan saingan empat penjuru dengan calon PH, Farzana Hayani Mohd. Nasir; calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Young Jie Yu.
Daripada rekod perkhidmatan, Ban Hong dilihat cemerlang menyelesaikan isu setempat seperti pengairan sawah padi dan fasiliti nelayan. Namun, sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN) pula menjadi persoalan kerana Mohamad Ali yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu terbukti mempunyai hubungan yang baik dengan akar umbi Pas.
Di Pantai Kundor, penyandang, Datuk Tuminah Kadi berdepan dengan penolakan dalaman dan perkara itu diakui oleh Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.
Bagaimanapun, Rais berkata, konflik dalaman BN Parlimen Tangga Batu yang membawa kepada penolakan terhadap beberapa calon telah berakhir seawal beberapa hari berkempen.
Rais mengakui isu itu timbul selepas pengumuman calon dibuat tetapi berjaya diselesaikan atas prinsip kekeluargaan antara parti komponen.
Di Durian Tunggal pula, calon baharu, Datuk Mustafa Musa berdepan ketidakpuasan hati penyokong susulan pengguguran nama penyandang kerusi, Datuk Zahari Abd. Kalil.
Sama seperti di Pantai Kundor, isu itu dikatakan selesai yang mana Zahari sendiri membantu kempen Mustafa dengan memberikan penerangan kepada orang ramai.
Setakat ini, BN optimis mampu memperoleh majoriti besar melebihi angka 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini. Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri secara terbuka menyatakan keyakinan gelombang biru mampu menawan kesemua 28 DUN.
Katanya, ini kerana tawaran BN bersama PN yang mengandungi 113 perkara berasaskan beberapa teras utama mampu memenuhi keperluan rakyat Melaka.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kecelaruan politik di peringkat Persekutuan ketika ini membuka ruang lebih luas kepada BN dan PN untuk mencatat kemenangan besar, esok.
Beliau berkata, perkembangan politik semasa akan mempengaruhi penilaian rakyat terhadap parti-parti bertanding sekali gus memberikan kelebihan kepada gabungan BN-PN.
Menurutnya, isu berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong terhadap pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menjadi perkara yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.
“Apabila berlaku kecelaruan politik melibatkan beberapa kes semasa, kita lihat bahawa kesempatan ini digunakan oleh rakyat untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah-langkah yang diambil oleh pihak sebelah sana kerana seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya tak nak komen lebih-lebih, ini politik, ini pilihan raya. Keutamaan saya adalah mencari jalan bagaimana Melaka nak menang. Kalau rakyat rasa dan berfikir kita lebih baik, maka pilih antara yang paling baik demi kebaikan kita bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi diharap akan membantu kemenangan PH sama seperti PRU14.
Beliau berkata, para pengundi diseru keluar menunaikan tanggungjawab awal pagi bagi mengelak kemungkinan hujan pada sebelah petang.
Katanya, keluar mengundi lebih awal juga dapat membantu melancarkan perjalanan proses pengundian esok.-UTUSAN.










