JASIN: Isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya berbangkit, sekiranya keputusan mengenainya sudah dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sepatutnya dilaksanakan tanpa pertikaian selepas ia diputuskan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu tersebut hanya dibangkitkan pada November sedangkan keputusan pengampunan bersyarat sudah dibuat pada September lalu.
“Saya rasa tidak ada isu lagi sebenarnya sebab Lembaga Pengampunan telah pun membuat keputusan.
“Kalau keputusan telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan, tidak ada sebab kenapa selepas membuat keputusan, di luar lain pula jadinya.
“Jadi, saya rasa ini tindakan yang amat tidak wajar, lebih-lebih lagi keputusan dibuat bulan September tetapi bulan November pula timbul isu,” katanya ketika ditemui selepas membantu kempen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Ismail berkata, sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam keputusan tersebut, perkara itu sepatutnya dibangkitkan lebih awal dan bukannya selepas tempoh lebih dua bulan.
“Kenapa tunggu sehingga dua bulan lebih untuk membuat pembetulan kalau ada kesilapan?,” katanya.
Beliau berkata, Peguam Negara juga berperanan sebagai anggota Lembaga Pengampunan yang terlibat dalam proses membuat keputusan berkenaan.
Katanya, perkara berkaitan pengampunan perlu dilihat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa Lembaga Pengampunan.
“Dalam kes Datuk Najib ini, yang membuat keputusan untuk tahanan di rumah dengan bersyarat itu adalah daripada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara ini terdapat dalam Perlembagaan dan sebagainya. Jadi, tidak ada sebab hendak timbul isu apabila sudah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.
“Sepatutnya terus melaksanakan apa yang diputuskan,” katanya. – UTUSAN









