KUALA LUMPUR: Sumbangan seseorang kepada masyarakat tidak semestinya diukur menerusi populariti atau pengiktirafan, sebaliknya nilai sebenar terletak pada kesan positif yang mampu diberikan kepada kehidupan insan lain.
Usaha membantu golongan memerlukan, membimbing individu neurodivergen dan membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi antara contoh sumbangan yang mungkin tidak mendapat perhatian meluas, tetapi memberi makna besar kepada komuniti.
Menerusi kempen Sebut Namamu, Kumpulan KHIND mengetengahkan 65 kisah rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-65 syarikat itu bagi menghargai individu yang disifatkan sebagai Everyday Champions atau Juara Setiap Hari.
Kempen yang bermula pada Ogos lalu itu memberi pengiktirafan kepada mereka daripada pelbagai latar belakang, selain menggalakkan masyarakat lebih peka terhadap kebaikan yang dilakukan di sekeliling mereka.
Pengarah Eksekutif Kumpulan KHIND, Cheng Duo-Ren berkata, kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada kejayaan besar, malah turut dibentuk melalui sumbangan kecil yang dilakukan secara berterusan oleh individu.
“Melalui kempen Sebut Namamu, kami mahu masyarakat melihat kejayaan dan kemajuan daripada perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.
“Kami juga mahu mengiktiraf peranan setiap individu dalam membina komuniti yang prihatin, saling membantu dan mampu berkembang bersama,” katanya.

Antara kisah yang diketengahkan ialah perjalanan Dr Moventhiran Ramakrishnan yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya menerusi pendidikan sebelum mencapai kerjaya sebagai pakar bedah saraf.
Kempen itu turut menampilkan Juairiah daripada Menjana Peluang untuk Individu Kurang Upaya Pembelajaran (GOLD) yang komited membimbing golongan neurodivergen, selain Rusydi Rosli yang menggunakan media sosial untuk memperjuangkan kesedaran mengenai akses kemudahan surau awam.
Turut diberi perhatian ialah Shazwan Wong Abdullah yang aktif melatih pemain bola sepak akar umbi, manakala Uncle Leslie pula menyertai syarikat kecantikan tempatan, Dododots, sebagai pelatih senior selepas pernah berkhidmat sebagai pengurus jualan.
Setiap kisah berkenaan membawa mesej bahawa usaha mencetuskan perubahan tidak semestinya memerlukan tindakan luar biasa, sebaliknya bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan untuk membantu orang lain.
Daripada sasaran 65 kisah, sebanyak 41 telah diterbitkan setakat ini, manakala kempen berkenaan mencatatkan lebih sejuta tontonan menerusi beberapa platform media sosial.
Penganjur turut menerima lebih 100 penyertaan daripada orang ramai yang berkongsi pengalaman atau mencalonkan individu lain untuk diketengahkan menerusi kempen berkenaan.
Pencalonan masih dibuka kepada orang ramai melalui laman sesawang www.khindrto.com.my/sebut-namamu sehingga 30 November ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai individu menerima pengiktirafan.
Selepas kesemua kisah diterbitkan, proses pengundian dan penilaian akan dilakukan pada Disember ini untuk memilih lima pemenang yang masing-masing bakal menerima produk bernilai RM6,500 serta dilantik sebagai Duta KHIND bagi 2027.
Kempen itu diharap dapat menyemai budaya menghargai sumbangan individu yang menjadi penggerak kepada kesejahteraan masyarakat, meskipun usaha mereka tidak semestinya mendapat perhatian umum. – UTUSAN











