Hasrat untuk merasai cinta sejati dan menikmati kebahagiaan bersama seorang lelaki yang benar-benar menghargai dirinya menjadi antara impian yang sekian lama disimpan usahawan dan selebriti, Datuk Seri Vida (DSV).
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman mengakui, dia sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan, khususnya dalam soal hubungan dan pasangan hidup.
Bagaimanapun, DSV tidak pernah menyangka doa yang dipanjatkan selama ini akhirnya hadir dalam bentuk cukup istimewa apabila kekasih hatinya, Datuk Fazley Yaakob, melamarnya menerusi satu kejutan istimewa menggunakan pertunjukan 1,200 dron di ibu negara, Selasa lalu.
“Saya mahu merasai cinta yang sebenar. Saya mahu merasai cinta yang tulen. Cinta sejati itu hadir apabila perasaan dibina secara berperingkat. Bukan semuanya perlu dilakukan secara tergesa-gesa. Kehidupan kita masih panjang, jadi kita akan sampai kepada titik yang paling indah dalam alam perkahwinan.
“Saya mahu merasai layanan istimewa kerana dahulu saya tidak pernah mendapat layanan sebegini,”katanya.
DSV juga mengakui, lamaran Fazley itu disifatkannya sebagai sesuatu di luar jangkaan, apatah lagi lelaki itu sanggup merancang kejutan besar demi mencipta kenangan manis buat mereka sekeluarga.

Kata DSV, dia percaya setiap manusia perlu meletakkan harapan yang besar ketika berdoa kepada Allah kerana tiada apa yang mustahil bagi-Nya.
Malah, dia mengakui sering memohon perkara besar dalam hidup dan percaya rezeki serta kebahagiaan boleh hadir pada bila-bila masa, termasuk melalui jalan yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
“Saya percaya bahawa apabila kita berdoa kepada Allah SWT, kita perlu meminta sesuatu yang paling besar dan bukan perkara yang kecil. Mintalah perkara yang besar-besar. Tuhan Maha Besar, jadi kita mintalah perkara yang besar-besar. Berdoa tidak perlu membayar apa-apa, tetapi semuanya bergantung pada apa yang benar-benar kita inginkan dalam hati.
“Saya selalu berbuat demikian dan banyak pintu rezeki terbuka pada saat yang tidak disangka-sangka. Rezeki yang luar biasa dan juga pintu kebahagiaan. Saya rasa, ini merupakan pintu kebahagiaan untuk saya, anak-anak dan juga untuk saya lebih tekun beribadah.” katanya.
Sementara itu, Fazley berkata, lamaran berkenaan bukan sekadar untuk membahagiakan DSV, sebaliknya turut dirancang bagi mewujudkan kenangan bermakna buat anak-anak daripada kedua-dua keluarga.

Katanya, idea menggunakan dron tercetus selepas mengambil kira kecenderungan anak-anak yang terdiri daripada generasi Z, selain mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.
“Saya mahu mereka mempunyai kenangan yang boleh diceritakan kepada anak cucu mereka nanti. Jadi, apabila saya gabungkan apa yang saya inginkan untuk DSV dengan sesuatu yang mungkin dapat dihargai oleh anak-anak, maka tercetuslah idea menggunakan dron,”ujarnya.
Fazley turut menyifatkan DSV sebagai wanita luar biasa yang layak menerima sebuah lamaran istimewa, selari dengan keperibadian dan pencapaiannya sebagai usahawan serta personaliti terkenal di media sosial.
Malah, kejutan yang dirancang itu membabitkan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM500,000 hasil gabungan tajaan, sokongan pelbagai pihak dan perbelanjaan sendiri.
Mengulas mengenai hala tuju hubungan mereka, Fazley menegaskan, hubungan yang terjalin bukan sekadar kandungan media sosial mahupun strategi pemasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Ramai yang bertanya sama ada kami benar-benar bercinta dan sama ada kami sudah berkahwin. Jadi, ini merupakan jawapan saya kepada semua persoalan tersebut. Saya juga masih berpegang pada adat. Maksudnya, kami akan melalui proses merisik, bertunang dan bernikah.
“Langkah pertama ialah melamar, iaitu saya menyerahkan cincin tanda. Semuanya mengikut adat tetapi dalam bentuk generasi Z. Kami masih belum bertunang dan belum melalui proses merisik. Jadi, mungkin akan ada majlis-majlis yang bakal berlangsung sehinggalah ke majlis persandingan nanti. Doakan semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan itu belum menetapkan tarikh bagi majlis merisik atau pertunangan, namun Fazley memberi bayangan beberapa perkembangan penting dijangka menyusul pada tahun depan.











