PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah mendedahkan dia sudah melatih anak-anaknya untuk tidur berasingan sejak bayi meskipun dalam ruangan yang sama bagi membiasakan anak-anaknya tidur sendiri sejak dilahirkan.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, kedua-dua anaknya mula tidur di bilik berasingan ketika mereka berusia lapan bulan dengan bantuan pemantau bayi bagi memastikan keadaan mereka sentiasa terkawal.
“Saya melatih anak-anak tidur sendiri sejak mereka dilahirkan dan mereka tidak pernah tidur sekatil dengan saya, tetapi masih berada di dalam bilik yang sama.
“Apabila mereka berusia lapan bulan, saya memindahkan katil bayi mereka ke bilik sendiri dan memasang alat pemantau bayi (baby monitor) untuk memantau keadaan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah penyanyi lagu Memori Tercipta itu, dia juga lebih selesa tidur apabila anak-anak sudah berada di bilik sendiri kerana tidak perlu risau mereka tertindih ketika tidur.
“Mereka masih terjaga pada waktu malam untuk menyusu dan sebagainya, tetapi sekurang-kurangnya apabila saya tidur, saya tidak perlu risau mereka tertindih kerana saya dan suami mempunyai tubuh yang agak tinggi,” katanya.
Berkongsi pengalaman melatih kedua-dua anaknya, Shila berkata, anak sulungnya lebih mudah mengikuti rutin tidur sendiri berbanding anak perempuan.
“Anak sulung saya lebih mudah dilatih, tetapi anak perempuan saya hanya mula tidur sepanjang malam selepas berusia dua tahun tiga bulan, baru-baru ini,” katanya.
Untuk rekod, Shila Amzah dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Seth Uwais hasil perkahwinan pertamanya bersama Haris Idraki Elias pada 19 April 2018 sebelum berpisah pada 8 Februari 2022, serta Rhea Akira menerusi perkahwinan keduanya dengan Ubai pada 4 Ogos 2023.











