PHUKET: Ratusan tapak sulaiman ditemukan terdampar dan dipercayai mati di sepanjang Pantai Karon, Phuket pada pagi Rabu, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu dan kebimbangan pengguna media sosial berhubung kejadian luar biasa itu.
Pemandangan aneh itu menarik perhatian selepas seorang pengguna Facebook, Dechaphawida Chueanak, berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan tapak sulaiman bertaburan di atas pasir di Pantai Karon, daerah Karon, wilayah Mueang Phuket.
“Mengapa tapak sulaiman terdampar dalam keadaan mati di sepanjang Pantai Karon? Pelik,” tulis pengguna itu.
Gambar berkenaan menunjukkan sejumlah besar tapak sulaiman yang mempunyai badan dan lengan memanjang, dengan corak berselang-seli antara warna gelap dan cerah, bertaburan di sepanjang pantai.
Penemuan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengunjung pantai dan pengguna media sosial mengenai punca begitu banyak tapak sulaiman dihanyutkan ke pesisir pantai.
Sekitar tengah hari, ketika air pasang dan ombak mula menghempas lebih jauh ke kawasan pantai, tapak sulaiman yang terdampar dilaporkan dihanyutkan semula ke laut.
Hantaran Facebook itu pantas menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial yang bimbang, dengan sesetengahnya mempersoalkan sama ada keadaan luar biasa di dasar laut mungkin menjadi punca kejadian berkenaan.
“Adakah sesuatu yang tidak kena di bawah laut? Adakah alam semula jadi cuba menyampaikan sesuatu kepada kita?” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang jarang berlaku dan luar biasa, manakala sesetengah pengguna berpendapat ombak kuat mungkin menyebabkan tapak sulaiman dihanyutkan ke pantai.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kejadian itu atau laporan yang mendakwa haiwan itu mati di Pantai Karon.-AGENSI











