SAYA merujuk kepada artikel bertajuk ‘Hutan mini’ Desa Perwira ancam keselamatan penduduk daripada Pembayar Cukai Risau yang disiarkan dalam ruangan ini pada 1 Julai lalu.
Sebelum ini saya menulis aduan ekoran bimbang dengan keadaan satu lot tanah tidak berpenghuni terletak di persimpangan Persiaran Hillview dan Jalan Raja Musa Mahadi.
Rumput dan belukar yang tumbuh terbiar hingga melepasi paras tinggi manusia dewasa sejak setahun lalu menjadikannya kini umpama sebuah ‘hutan mini.’
Paling saya khuatir adalah ia boleh menjadi lokasi persembunyian mereka yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah seperti pecah rumah, mencuri atau merompak.
Selain itu, penemuan haiwan berbisa seperti anak ular di halaman rumah saya juga boleh mengancam nyawa penduduk.
Di sini saya ingin melahirkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertindak ke atas aduan penduduk dengan membersihkan satu kawasan di Desa Perwira yang dipenuhi semak samun sejak setahun lalu.
Dengan tindakan pantas MBI, penduduk tidak lagi risau kawasan tersebut menjadi lokasi persembunyian mereka yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah.
Kini penduduk berasa lega apabila mendapati lot tersebut sudah lapang selepas dibersihkan oleh kontraktor yang dilantik oleh MBI. –UTUSAN
Sekali lagi, terima kasih MBI.
PENDUDUK DESA PERWIRA
Ipoh, Perak











