MARAN: Menara buaian (hammock tower) setinggi 11 tingkat yang dibina khas jadi tarikan dalam penganjuran 11th Lubuk Yu Hammock Fest 2026 yang menghimpunkan lebih 200 peminat aktiviti rekreasi alam semula jadi dari seluruh negara di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Kuala Sentul di sini.
Festival selama tiga hari yang berakhir semalam itu menawarkan pengalaman istimewa menikmati panorama hutan semula jadi menerusi aktiviti perkhemahan, pemasangan buaian dan pelbagai pengisian berkonsepkan Hammock, Nature and Adventure.
Pengerusi Majlis Kebudayaan dan Kesenian Daerah Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, penganjuran festival yang memasuki tahun ke-11 itu membuktikan pembangunan ekopelancongan tidak semestinya mengorbankan keindahan alam semula jadi.
“Lubuk Yu mempunyai keistimewaan tersendiri menerusi sungai yang jernih, batu-batu besar dan kehijauan hutan yang masih terpelihara, sekali gus berpotensi menjadi tarikan pelancongan serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas meraikan peserta di Taman Eko Rimba Lubuk Yu di sini semalam.
Beliau berkata, pembangunan kawasan berkenaan perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengekalkan identiti asalnya supaya keindahan alam yang menjadi tarikan utama tidak terjejas akibat pembangunan tidak terkawal.
Aktivis alam sekitar mapan, Datuk Mukaram Shah Zainuddin turut menyertai program berkenaan yang menyaksikan pelepasan kira-kira 3,000 benih ikan kelah ke sungai sebagai usaha memulihara spesies berkenaan dan mengekalkan kelestarian ekosistem sungai.
Urus setia penganjur, Juhari Che Lah berkata, festival berkenaan bukan sekadar menghimpunkan peminat aktiviti buaian dan perkhemahan malah menjadi platform memperkenalkan keunikan Lubuk Yu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Menurutnya, penyertaan lebih 200 peserta dari seluruh negara membuktikan festival berkenaan mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan komuniti peminat aktiviti luar yang mahu merasai pengalaman berekreasi dalam suasana hutan semula jadi.
Beliau berkata, Maran turut mempunyai potensi ekopelancongan menerusi beberapa destinasi alam semula jadi lain termasuk Air Terjun Teladas dan Lubuk Ujid Che Minah Sayang yang menawarkan pengalaman rekreasi tersendiri kepada pengunjung. – UTUSAN











