FLORIDA: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) membuka pengambilan angkasawan baharu dengan menawarkan peluang kepada calon terpilih untuk tinggal dan bekerja di bulan.
NASA dalam kenyataan berkata, pengambilan dengan tawaran gaji AS$164,395 (RM666,804) itu bertujuan mendapatkan calon berkelayakan untuk membantu meneruskan fasa baharu penerokaan manusia di angkasa lepas.
Pentadbir NASA, Jared Isaacman, berkata peluang menyertai pasukan angkasawan agensi itu dianggap sangat istimewa berikutan perancangan misi penerokaan bulan dan Marikh.
“Individu terpilih berpeluang menjejakkan kaki ke bulan, tinggal dan bekerja di Pangkalan Bulan serta membangunkan sistem serta operasi yang akhirnya membolehkan kru angkasa dihantar ke Marikh.
“Misi berkenaan memerlukan kepakaran teknikal, pertimbangan yang tepat, semangat berpasukan dan keberanian,” katanya.
Permohonan bagi menyertai pasukan angkasawan itu kini dibuka menerusi laman web rasmi NASA dan calon yang berminat perlu mengemukakan permohonan sebelum 3 Disember ini.
Bagaimanapun, calon perlu memenuhi beberapa syarat ketat yang ditetapkan agensi itu, termasuk warganegara AS dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Calon yang menamatkan atau sedang mengikuti program Sekolah Juruterbang Ujian diiktiraf di peringkat kebangsaan turut layak memohon.
NASA turut menetapkan syarat ketat berkaitan pemeriksaan kesihatan, tapisan keselamatan dan tahap kecergasan fizikal.- AGENSI








