Panda Eyes sasar IPO Januari 2027, rancang buka 15 cawangan baharu - Utusan Malaysia

Panda Eyes sasar IPO Januari 2027, rancang buka 15 cawangan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit fesyen tempatan, Panda Eyes Group Berhad (Panda Eyes), menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Januari 2027 menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai pengembangan perniagaan termasuk pembukaan sehingga 15 cawangan baharu.

Cadangan IPO itu melibatkan terbitan 325 juta saham baharu, bersamaan 20 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, selain tawaran untuk jualan 162.5 juta saham sedia ada atau 10 peratus daripada modal saham berkenaan.

Pengarah Urusannya, Wang LiangLong berkata, penyenaraian itu menjadi pencapaian penting bagi syarikat yang ditubuhkan pada 2016, selain membuka peluang untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan kumpulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebahagian besar hasil IPO akan digunakan untuk membuka sehingga 15 cawangan peruncitan baharu di seluruh negara, menaik taraf premis sedia ada dan menambah modal kerja.

“Kami juga sedang menggunakan dana dalaman untuk memperkukuh aktiviti penstriman langsung yang beroperasi selama 18 jam sehari menerusi penambahan dua studio baharu kepada lima studio sedia ada, selain mengambil lebih ramai bakat penstriman,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, Panda Eyes mengendalikan 33 cawangan fizikal di Semenanjung Malaysia, selain menjalankan perniagaan dalam talian menerusi platform seperti TikTok Shop dan Shopee.

Strategi menggabungkan kedai fizikal dan saluran digital itu menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan yang merekodkan pendapatan RM194.9 juta serta keuntungan selepas cukai (PAT) RM22.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

Sebanyak 81.25 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang ramai Malaysia melalui undian, manakala 40.625 juta saham ditawarkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan menerusi Peruntukan Borang Merah Jambu.

M & A Securities akan menaja jamin 121.875 juta saham baharu berkenaan, manakala baki 203.125 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan khas kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan Choon Peow berkata, Panda Eyes berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam segmen fesyen berjenama mampu milik, dengan jualan dalam talian menyumbang 58.5 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan pada 2025.

“Kami percaya kombinasi ini menawarkan peluang kepada pelabur untuk terlibat dalam segmen fesyen mampu milik di Malaysia menerusi peruncit yang mempunyai kehadiran kukuh dalam saluran fizikal dan dalam talian,” katanya.

M & A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini