Penyelidik perlu bekerjasama dengan industri perkasa bioteknologi

Penyelidik perlu bekerjasama dengan industri perkasa bioteknologi

Chang Lih Kang menyaksikan pertukaran lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIBM dengan rakan strategik daripada institusi akademik dan sektor penjagaan kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyelidik digesa memperkukuh kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan hasil penyelidikan bioteknologi dapat dimanfaatkan untuk menjana nilai ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, universiti juga perlu menghubungkan kepakaran penyelidikan dengan keperluan pasaran, manakala agensi kerajaan berperanan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong pembangunan sektor berkenaan.

Menurut beliau, pelabur turut perlu memainkan peranan dengan menyokong teknologi yang mempunyai potensi, selain kerjasama antarabangsa yang dapat membuka akses kepada kepakaran, infrastruktur dan pasaran di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bioteknologi pada asasnya digerakkan oleh keupayaan manusia. Kepada penyelidik muda dan pelajar, hasil kerja anda amat penting kerana penyelidikan yang dijalankan hari ini berpotensi menghasilkan varieti tanaman lebih baik, teknologi diagnostik, vaksin, bahan berasaskan bio atau syarikat pemula niaga bioteknologi yang berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada perasmian Simposium Bioteknologi Kebangsaan 2026 (NBS 2026) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, bioteknologi kekal sebagai komponen penting dalam agenda pembangunan teknologi negara, terutama dalam menangani cabaran berkaitan sekuriti makanan, perubahan iklim dan ancaman kesihatan baharu.

Jelasnya, menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (NBP 2.0), kerajaan mengenal pasti tiga teras utama iaitu bioteknologi pertanian dan sekuriti makanan, bioteknologi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta bioteknologi industri dan ekonomi kitaran.

Katanya lagi, Malaysia mempunyai kelebihan menerusi kekayaan biodiversiti, kepakaran saintifik serta penyelidik berbakat dalam bidang bioteknologi yang boleh dimanfaatkan untuk menjana nilai ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat.

“Sumbangan sektor bioteknologi kepada ekonomi global ketika ini dianggarkan bernilai AS$2.4 trilion. Justeru, kita perlu memastikan Malaysia turut mendapat bahagian daripada potensi ekonomi ini secara menyeluruh.

“Usaha ini melibatkan penerapan ilmu pengetahuan saintifik kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan kehidupan rakyat dan memperkukuh ekonomi negara. Pembangunan bioteknologi juga perlu berlandaskan asas saintifik yang kukuh, aspek keselamatan serta pertimbangan etika berdasarkan keadaan dan keperluan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini