PETALING JAYA: Persiapan singkat bakal menguji skuad hoki lelaki negara kendalian Brendan Carolan menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2026.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dari 20 hingga 28 November ini hadir ketika skuad negara masih perlu memperkemas beberapa aspek permainan selepas kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026, khususnya kegagalan memanfaatkan pukulan sudut penalti ketika berdepan Jepun.
Carolan mengakui tumpuan pasukan kini lebih menjurus kepada persiapan jangka panjang menghadapi kelayakan Olimpik tahun depan, namun Piala Sultan Azlan Shah tetap menjadi sebahagian daripada proses membentuk skuad yang lebih kompetitif.
“Kami baru sahaja mengharungi Sukan Asia, jadi persiapan lebih menjurus kepada perancangan jangka panjang untuk kelayakan Olimpik tahun depan.
“Piala Sultan Azlan Shah adalah antara kejohanan dalam perancangan itu dan kami berharap dapat memberi pendedahan kepada beberapa pemain, tetapi pada masa sama perlu mencari keseimbangan kerana pasukan seperti Australia juga cukup kuat,” katanya.
Persoalannya, sejauh mana Speedy Tigers mampu menguji pemain baharu tanpa menjejaskan daya saing pasukan, terutama apabila mereka perlu berdepan lawan berkualiti dalam kejohanan yang turut menjadi medan mengukur perkembangan skuad kebangsaan.
Lebih membimbangkan, tempoh persiapan yang singkat berpotensi menyukarkan usaha Carolan memperbaiki kelemahan taktikal yang dikenal pasti ketika ACT, apabila pemain dijangka kembali menyertai saingan liga sebaik sahaja tugasan bersama skuad kebangsaan berakhir.
“Memang sukar kerana pemain akan terus kembali beraksi dalam liga, jadi kami tidak mempunyai banyak ruang untuk melakukan persiapan ketika saingan itu berlangsung.
“Kemungkinan besar kami hanya dapat berkumpul di kejohanan berkenaan dan menjalani latihan selama beberapa hari, termasuk mengadakan satu perlawanan latihan menentang Kanada sebelum terus memulakan saingan,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia hanya muncul juara buat kali pertama pada 2022 sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1983 dengan Australia muncul pemenang terbanyak sebanyak 10 kali.-UTUSAN









