SAR diteruskan tumpu kawasan jambatan Pertak, Empangan Sungai Selangor

SAR diteruskan tumpu kawasan jambatan Pertak, Empangan Sungai Selangor

M. Manimaran ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Usaha mengesan tiga lagi mangsa yang hilang susulan kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu kini tertumpu di kawasan jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dan keputusan untuk menghentikannya bergantung kepada keadaan cuaca serta nasihat pasukan bomba.

“Buat masa ini, operasi masih berjalan. Kita akan melihat keadaan cuaca kerana apabila semakin lewat malam, operasi mungkin berdepan kesukaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada pegawai bomba sebelum membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan manakala tiga lagi masih hilang.

“Lima mangsa yang ditemukan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang warga Nepal, dua warga India dan seorang warga Sri Lanka.

“Tiga lagi yang belum ditemukan ialah dua warga India dan seorang warga Yaman,” jelasnya.

Menurutnya, semua lima mayat yang ditemukan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah menghubungi kedutaan negara mangsa-mangsa terlibat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian turut menggunakan dua lampu limpah yang disediakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) selain dron bagi membantu mengesan mangsa di permukaan air.

Katanya, empat bot turut disediakan dalam keadaan siap siaga sekiranya mangsa dikesan.

“Lampu limpah berkenaan akan dihidupkan selama 30 minit hingga sejam sebelum dipadamkan selama sejam dengan kaedah itu diulang sepanjang operasi pencarian,” katanya.

Terdahulu, lima daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus telah ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa pertama, V. Vijayan, 36, warga tempatan, ditemukan pada 1.30 pagi tadi di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa ditemukan kira-kira 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget kira-kira 950 meter dari Lata Jebus manakala seorang lagi ditemukan pada 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.

Dalam kejadian itu, seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat dengan lapan lelaki dihanyutkan arus manakala 26 lagi berjaya diselamatkan anggota bomba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini