Dutch Lady peroleh 35 peratus kepentingan dalam JDV - Utusan Malaysia

Dutch Lady peroleh 35 peratus kepentingan dalam JDV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia), sebahagian daripada FrieslandCampina, bersetuju mengambil alih 35 peratus kepentingan ekuiti dalam Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDV), sebuah perniagaan tenusu bersepadu yang berpangkalan di Johor, daripada Kulim (Malaysia) Berhad.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka membuka ruang kerjasama strategik antara ketiga-tiga pemegang saham JDV, iaitu Dutch Lady Malaysia, Kulim yang merupakan anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) dan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. (A2F), anak syarikat Rhone Ma Holdings Berhad.

Dutch Lady Malaysia berkata, penyertaan itu merupakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat, khususnya bagi memperkukuh penglibatannya dalam segmen susu segar yang semakin berkembang di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran JDV dalam bidang penternakan tenusu dan pengeluaran susu segar, pengetahuan Dutch Lady Malaysia mengenai pengguna tempatan serta kekuatan jenama dan rangkaian komersialnya.

Gabungan itu turut disokong pengetahuan dan kepakaran global FrieslandCampina dalam industri tenusu bagi menyediakan asas kukuh kepada kerjasama jangka panjang.

Pelaburan berkenaan juga bertujuan menyokong pembangunan sektor tenusu negara, khususnya dalam memperkukuh keupayaan pengeluaran susu segar domestik serta meningkatkan tahap keterjaminan makanan.

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Veronika Utami berkata, syarikat itu yang telah beroperasi lebih 60 tahun di Malaysia komited untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran tempatan seiring perubahan pilihan pengguna.

K”aerjasama dengan Kulim dan A2F akan membolehkan syarikat menyokong pembangunan JDV selain memanfaatkan pengetahuan pasaran dan pemahaman terhadap pengguna bagi memenuhi keperluan yang semakin berubah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pelaburan dalam JDV mencerminkan komitmen korporat itu untuk membangunkan perniagaan yang mampan dari segi komersial dalam sektor penting kepada Johor dan Malaysia.

“Industri tenusu yang berdaya saing memerlukan pengeluaran tempatan yang kukuh, kepakaran industri, operasi yang boleh dipercayai serta akses pasaran merentasi keseluruhan rantaian nilai.

“Kerjasama dengan Dutch Lady Malaysia akan menggabungkan keupayaan pelengkap bagi merealisasikan potensi komersial jangka panjang JDV,” katanya.

Dalam pada itu, JDV akan terus beroperasi di bawah pengurusan sedia ada, manakala Dutch Lady Malaysia akan bekerjasama dengan Kulim dan A2F sebagai pemegang saham mengikut aturan tadbir urus yang dipersetujui.

Cadangan pengambilalihan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada pemenuhan syarat dalam Perjanjian Jual Beli Saham, termasuk mendapatkan kelulusan pihak ketiga yang berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini