KUALA LUMPUR: Pelawak, Amir Raja Lawak kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami jangkitan paru-paru.
Perkembangan itu dimaklumkan pelakon dan aktivis, Lando Zawawi menerusi hantaran di Facebook, hari ini, selepas mendapat keizinan daripada ibu Amir, Nizan untuk berkongsi keadaan terkini pelawak berkenaan.
Menurut Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi, Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 37, mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.
Katanya, Amir kini sedang menunggu giliran untuk menjalani proses rawatan seterusnya di ICU.
“Saya baru saja mendapat keizinan daripada ibu Amir (Puan Nizan) untuk memohon sanak saudara dan rakan-rakan yang mengenali saudara kita, Mohammad Amirullah Azmi, sama-sama mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali sihat.
“Maaf, tak sanggup cakap. Namun, secara asasnya beliau mengalami jangkitan paru-paru. Asma memang sejak kecil,” katanya.
Dalam hantaran sama, Lando turut mengingatkan individu yang masih mempunyai hutang dengan Amir supaya segera melunaskan tanggungjawab berkenaan atau memohon maaf kepadanya.
“Semoga Allah masih beri peluang kita bersamanya dan sekadar peringatan buat pihak yang masih berhutang dengannya. Eloklah selesaikan atau mohon maaf kepadanya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lando menjelaskan beliau tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai keadaan Amir kerana menghormati privasi rakannya itu yang tidak gemar hal peribadinya menjadi perhatian umum.
Katanya, Amir sememangnya seorang yang menjaga maruah dan prinsip diri, malah sebelum ini enggan menerima bantuan kewangan ketika berdepan kesusahan, sebaliknya hanya bersedia menerima tawaran pekerjaan.
“Dia memang macam itu orangnya. Baru muat naik status, dia sudah minta padam. Dulu, ketika hendak bantu hulurkan wang semasa dia susah pun, dia tidak mahu terima.
“Kerja sahaja yang dia terima. Memang tinggi integriti dan maruah dia. Apa pun, kita doakan semua yang baik-baik dan semoga dipermudahkan urusan,” katanya.
Hantaran berkenaan turut mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya menitipkan doa agar Amir diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Sementara itu, menerusi tinjauan di laman Facebook Amir, pelawak berkenaan dilihat masih aktif berkongsi perkembangan dirinya apabila memuat naik hantaran bersama pelakon, Datuk Ziela Jalil dan Liza Abdullah, empat hari lalu.










