Kawasan SAR tiga mangsa hilang dibahagi kepada empat sektor pencarian

Kawasan SAR tiga mangsa hilang dibahagi kepada empat sektor pencarian

OPERASI mencari dan menyelamat tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Hulu Selangor meliputi empat sektor pencarian. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak diteruskan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail, berkata, operasi disambung pada pukul 7.40 pagi tadi bagi mengesan baki mangsa yang dihanyutkan arus.

Setakat pukul 1.30 tengah hari tadi, lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala usaha mengesan tiga lagi mangsa masih diteruskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sektor A membabitkan kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak, manakala Sektor B dari Lubuk Pertak ke jambatan.

“Sektor C pula dari jambatan ke empangan dan Sektor D membabitkan kawasan Empangan Pertak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata, antara tiga mangsa yang masih hilang ialah seorang lelaki warga Yaman berusia 20 tahun.

Beliau berkata, empat mangsa ditemukan pagi tadi, masing-masing tiga pada pukul 9.29 pagi dan seorang lagi pada pukul 10.12 pagi.

Empat mangsa berkenaan terdiri daripada seorang warga Nepal, seorang warga India, seorang warga Sri Lanka dan seorang lagi yang belum dikenal pasti kewarganegaraannya.

“Tiga mayat ditemukan di kawasan berhampiran Jambatan Senget, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan arus.

“Seorang lagi mangsa ditemukan di bawah akar kayu, kira-kira 1.1 kilometer dari lokasi kejadian kepala air,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Md Razali berkata, seramai 111 anggota daripada pelbagai pasukan dan agensi digerakkan dalam operasi SAR setakat pukul 12.55 tengah hari tadi.

Katanya, operasi SAR turut dibantu pelbagai pasukan dan agensi, termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pasukan bomba sukarela.

“Pasukan bomba yang terbabit merangkumi anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Operasi turut dibantu anggota dari ibu pejabat JBPM, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia serta beberapa agensi lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini