KUALA LUMPUR: Personaliti kulinari terkenal negara, Chef Anis Nabilah, melakar satu lagi kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan pada majlis anugerah yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, 22 Oktober lalu, bagi meraikan kecemerlangan cef, usahawan serta jenama makanan dan minuman (F&B) dari dalam dan luar negara.
Anis berkata, penghargaan itu amat bermakna buat dirinya selepas melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang menceburi bidang kulinari.
Beliau yang nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin berkata, kejayaan itu turut didorong sokongan keluarga, rakan-rakan serta individu yang banyak memberikan inspirasi dan dorongan sepanjang perjalanan kerjayanya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini. Sepanjang perjalanan dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman yang dilalui dan ramai individu memberikan inspirasi kepada saya.
“Setiap peluang dan cabaran yang datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang cef,” katanya.
Menurutnya, masih banyak impian yang ingin direalisasikan, selain berhasrat untuk terus berkongsi minat dan kecintaan terhadap dunia kulinari dengan lebih ramai orang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak World Gourmet atas pengiktirafan berkenaan serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjayanya.
Majlis anugerah berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, selaku tetamu kehormat.
Turut hadir dua ikon kulinari antarabangsa, Datuk Chef Wan dan Master Chef Dr. Martin Yan, yang bertindak sebagai cef kehormat.
Antara tetamu kenamaan lain ialah bekas Presiden World Chefs Association, Master Chef Thomas Gugler; pengasas Cooking for Charity, Master Chef Jeffrey Tan, serta Penaung World Gourmet, Puan Sri Datin Sri Dr. Susan Cheah.
Turut hadir wakil Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee, yang diwakili Zuraini Abdul Ghani.
Selain mengiktiraf pencapaian individu, penganjuran kali ini turut memberi penghormatan kepada jenama F&B terkemuka dari pelbagai negara termasuk Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring (Taiwan) serta Quan An Ngon (Vietnam).
Wakil industri tempatan yang menerima pengiktirafan termasuk Andaman Seafood Village, Cooper Mansion dan Seri Bako by Kwan Kee.
Pengiktirafan turut diberikan kepada pengasas restoran ikonik seperti Village Park, Madam Kwan’s dan D’Tandoor, selain penggiat industri serta personaliti popular termasuk Cousin Edison, personaliti Hong Kong, Yeung Ming dan penyampai radio, Emely Poon.









