MELAKA: Seramai 9,769 anggota dan pegawai Tentera Darat (TDM) serta pasangan layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 hari ini.
Mereka mula berbaris untuk memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 2 di Kem Terendak di sini seawal pukul 7.30 pagi, meskipun pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.
Daripada jumlah itu, seramai 7,868 merupakan anggota dan pegawai tentera manakala 1,901 lagi ialah pasangan yang layak mengundi.
Berdasarkan statistik pengundi mengikut pasukan, undi awal tentera dan pasangan tertumpu di empat Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.
Ia melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Durian Tunggal, Sungai Udang dan Bukit Katil.
Pengundian awal memberi peluang kepada tentera dan pasangan yang layak untuk menunaikan tanggungjawab sebelum hari pengundian biasa pada 14 November ini.
Proses berkenaan penting bagi memastikan anggota keselamatan dapat melaksanakan tanggungjawab sebelum ditugaskan menjaga keselamatan dan kelancaran proses pilihan raya pada hari pengundian biasa.
PRN Melaka Ke-16 diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 September lalu yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Seri Negeri.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN











