PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan enam pemain Selangor FC tidak dapat menyertai skuad Harimau Malaya berikutan masalah kecederaan.
Enam pemain berkenaan ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Menurut FAM, pihaknya menerima surat rasmi daripada Selangor FC yang memaklumkan keenam-enam pemain berkenaan mengalami kecederaan selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC, malam tadi.
“FAM mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan menghormati situasi yang dihadapi oleh pihak kelab serta pemain terbabit,” kata FAM dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bertindak memanggil lima pemain yang berada dalam senarai bersedia bagi mengisi kekosongan dalam skuad negara.
Lima pemain itu adalah penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin, Safwan Mazlan (Terengganu FC), Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) dan Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC).
Terdahulu, Cheng Hoe menyatakan sudah bersedia sekiranya terdapat pemain yang disenaraikan dalam senarai 24 pemain dipanggil sebelum ini tidak dapat melaporkan diri bersama skuad kebangsaan.
Tonggak pertahanan Selangor, Quentin Cheng menjadi satu-satunya pemain dari kelab itu yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan bermula, hari ini.
Harimau Malaya akan berlepas ke China esok bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman pada 14 dan 17 November ini.-UTUSAN











