KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan dijangka melakukan perubahan dalam barisan Kabinet dijangka dalam masa terdekat ekoran kemungkinan berlaku dua kekosongan.
Bagaimanapun perubahan itu difahamkan tidak membabitkan menteri UMNO dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menggantikan wakil DAP serta seorang lagi anggota pentadbiran bertaraf Senator.
Sumber memaklumkan, perkembangan itu membabitkan kedudukan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang mahu meletak jawatan susulan keputusan DAP menolak pengampunan bersyarat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Selain itu, tempoh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara berakhir Disember ini dan perkhidmatannya erlu disambung jika mahu beliau terus kekal berada dalam Kabinet.
Perkara itu membuka ruang berlaku perubahan terhadap kedudukan Kabinet dan menjadikan perubahan kecil antara pilihan perlu dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika berlaku rombakan Kabinet, ia hanya membabitkan dua jawatan itu sahaja tidak pula membabitkan perubahan besar seperti mana kali terakhir berlaku pada tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi BN dan UMNO pula, setakat ini dikatakan tiada sebarang pemakluman rombakan Kabinet membabitkan menteri-menteri parti tersebut.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar beberapa menteri UMNO dimana setakat ini tiada panggilan yang dibuat terhadap mereka untuk memaklumkan sebarang perubahan yang berkait dengan parti berkenaan.
“Kami tidak pula tahu jika sebarang perubahan dibuat di luar pengetahuan kami. Cuma apa yang boleh disahkan setakat ini, tiada sebarang panggilan untuk memaklumkan tentang perubahan portfolio,” katanya.
Loke sebelum ini mengesahkan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada 28 September lalu susulan keputusan DAP membantah pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, Loke bersetuju untuk terus menjalankan tugas buat sementara waktu dan menegaskan peletakan jawatannya hanya berkuat kuasa sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya untuk menjalani tahanan rumah.
Pada 6 November lalu, Loke sekali lagi menegaskan pendiriannya it namun pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat dan kesan perintah mahkamah berkaitan.
Meskipun Najib belum menjalani tahanan rumah, namun diyakini perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat susulan bekas Perdana Menteri itu telah memenuhi syarat menjalani tahanan rumah dengan membayar denda RM50 juta, sekali gus peletakan jawatan Loke itu berkuatkuasa serta merta.
Dalam perkembangan lain pula, tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Senator akan berakhir pada 11 Disember ini, selepas dilantik untuk tempoh tiga tahun bermula 12 Disember 2023.
Perkara 45(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun.
Bagaimanapun, Amir Hamzah masih boleh dipertimbangkan untuk pelantikan semula bagi satu penggal lagi, tertakluk kepada proses pelantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keadaan itu memberi satu lagi pertimbangan kepada Anwar menjelang Disember, sama ada mengekalkan Amir Hamzah melalui pelantikan semula atau membuat perubahan pada portfolio berkenaan.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa menteri BN yang didakwa tidak sehaluan dengan Perdana Menteri sepatutnya disingkir bagi memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Katanya, tindakan itu wajar dipertimbangkan susulan perbalahan terbuka antara pemimpin BN dengan Perdana Menteri yang disifatkan boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan.
Malah Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli juga menegaskan bahawa peletakan jawatan Loke turut mewajarkan Anwar menggugurkan menteri UMNO daripada Kabinet dan BN daripada Kerajaan Persekutuan.-UTUSAN











