Kehabisan wang bercuti, lelaki Malaysia rompak wanita di Batam

Kehabisan wang bercuti, lelaki Malaysia rompak wanita di Batam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lelaki warga Malaysia yang kehabisan wang ketika bercuti di Batam didakwa merompak seorang wanita menggunakan pistol dan melarikan kereta mangsa pada Jumaat lalu.

Suspek, 41, yang berasal dari Melaka itu dipercayai mengugut mangsa berusia 48 tahun menggunakan pistol airsoft dan sebilah pisau sebelum melarikan Toyota Rush bersama barangan berharga yang keseluruhannya dianggarkan bernilai 292 juta rupiah (RM73,000).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Indonesia, Komisioner Agung Tri Poerbowo, berkata suspek dipercayai bertindak merompak selepas kehabisan wang ketika bercuti di negara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia tiba di Indonesia pada 15 September lalu, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas gagal mendapatkan wang mencukupi untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia.

“Dia pada mulanya datang ke Indonesia untuk bercuti, tetapi kehabisan wang. Suspek kemudian merancang merompak seseorang bagi mendapatkan wang untuk pulang ke tanah air dengan menyasarkan mangsa secara rawak,” katanya yang dipetik media Indonesia.

Menurut laporan, kejadian bermula apabila mangsa selesai membayar cukai kenderaan di kaunter Samsat, Harbour Bay, sebelum mengeluarkan wang tunai di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketika kembali ke kenderaannya, suspek didakwa masuk ke tempat duduk penumpang dan memaksa mangsa memandu ke arah Bukit Senyum.

Setibanya di kawasan luar sebuah taman perumahan, suspek mengeluarkan pistol airsoft dan pisau sebelum mengugut mangsa supaya membuat pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.

Bagaimanapun, mangsa menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek panik sebelum menolaknya keluar dari kenderaan dan melarikan diri bersama kereta serta barangan milik mangsa.

Cubaan suspek meloloskan diri bagaimanapun tidak berjaya apabila seorang anggota polis trafik yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejar kenderaan curi itu sebelum berjaya memintasnya.

Agung berkata, suspek turut mengacukan pistol airsoft ke arah anggota polis berkenaan dan merempuhnya sehingga menyebabkan anggota itu mengalami kecederaan.

Siasatan lanjut mendapati pistol airsoft berkenaan dibeli daripada seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri pada harga satu juta rupiah.

Agung berkata, pengawal keselamatan itu turut ditahan dan sedang disoal siasat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membekalkan senjata berkenaan.

Polis turut merampas kenderaan yang dicuri, wang tunai satu juta rupiah, sebuah beg, pistol airsoft bersama lima kartrij karbon dioksida (CO2) serta sebilah pisau.

Suspek berdepan pertuduhan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan mencuri dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini