Jangan tunggu Aliff juara baru hulur sokongan

Jangan tunggu Aliff juara baru hulur sokongan

Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berlatih di gimnasium. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan hanya hadir memberi sokongan selepas atlet bergelar juara, sebaliknya bantuan sewajarnya perlu disalurkan lebih awal bagi memastikan mereka mampu mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Itu harapan petarung muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, yang mahu Majlis Sukan Negara (MSN) memainkan peranan lebih besar dalam membantunya memburu pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Aliff, 22, yang pernah menghadiahkan emas kategori 54 kilogram (kg) pada Sukan SEA Vietnam 2021, berkata kesediaannya kembali menyarung jersi negara tidak pernah pudar, namun sokongan termasuk elaun bulanan amat diperlukan bagi menampung kos latihan, pemakanan dan persiapan sebagai petarung profesional.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mendedahkan pengalamannya ketika beraksi di Vietnam, Aliff berkata dia tidak menerima sebarang elaun ketika itu, sebaliknya terpaksa bergantung kepada usaha sendiri serta bantuan keluarga demi mengharumkan nama negara.

“Aliff memang berminat untuk bertanding di Sukan SEA Malaysia.

“Ketika di Vietnam, Aliff tidak menerima elaun tetapi tetap berusaha untuk menaikkan nama sendiri dan Malaysia. Kalau boleh, kali ini negara berilah sedikit sokongan,” katanya.

Menurutnya, tempoh karier seorang petarung tidak panjang, justeru sokongan kerajaan amat penting bagi membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan pada masa sama merancang masa depan selepas bersara.

“Aliff mahu sokongan daripada kerajaan. Aliff tidak mahu apabila sudah menang, baru sokongan itu datang. Aliff mahu bantuan diberikan sebelum menjadi juara.

“Sekurang-kurangnya ada elaun bulanan kerana kita bertarung untuk menaikkan nama Malaysia. Duit itu digunakan untuk latihan, makan dan persiapan. Kalau dapat sokongan kerajaan, lebih kuatlah kita,” katanya.

Aliff turut menyatakan kesediaan menjalani latihan sepenuh masa di Malaysia sekiranya menerima sokongan sewajarnya daripada MSN, termasuk kemudahan latihan dan elaun seperti dinikmati atlet negara lain.

Mengulas peluang pada Sukan SEA 2027, Aliff menjangkakan bakal beraksi dalam kategori 57kg berbanding 54kg ketika meraih emas di Vietnam, namun tetap yakin mampu menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara.

Ketika ini, Aliff sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi juara dunia Thailand, Prajanchai Pongsuphan PK, dalam perebutan gelaran dunia kategori strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 18 Disember ini.

Aliff sebelum ini mencipta kejutan apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, untuk merangkul gelaran dunia interim pada Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini