Bantuan awal mampu menyelamatkan nyawa

Bantuan awal mampu menyelamatkan nyawa

KEMAHIRAN bantuan asas hayat mampu menyelamatkan nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN seseorang tiba-tiba rebah di depan kita. Dalam keadaan cemas, adakah kita tahu tindakan yang perlu diambil sementara menunggu ambulans tiba?

Bagi mangsa henti jantung, bantuan awal amat penting kerana setiap minit tanpa resusitasi kardiopulmonari (CPR) boleh mengurangkan peluang untuk terus hidup. Oleh itu, kemahiran Bantuan Asas Hayat perlu dikuasai masyarakat, bukan hanya petugas kesihatan.

Menurut garis panduan Persatuan Jantung Amerika (AHA) 2025, CPR yang dilakukan segera berpotensi meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa henti jantung sebanyak dua hingga tiga kali ganda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, kajian terhadap 5,087 kes henti jantung di luar hospital di Pulau Pinang dari April 2023 hingga Mac 2024 mendapati hanya 43.5 peratus mangsa menerima CPR daripada orang awam.

Penggunaan defibrilator luaran automatik (AED) pula hanya mencatatkan 7.1 peratus. Statistik ini menunjukkan perlunya latihan praktikal yang lebih meluas supaya masyarakat turut mahir menggunakan peralatan berkenaan.

Apabila berhadapan situasi kecemasan, pastikan kawasan selamat terlebih dahulu sebelum menghubungi talian 999 dan memulakan CPR jika mangsa tidak sedarkan diri serta tidak bernafas secara normal. Bahaya seperti kebakaran, renjatan elektrik dan lalu lintas perlu dikenal pasti bagi mengelakkan penyelamat turut tercedera.

Inisiatif MyResQ melalui UMCares, Universiti Malaya dengan sokongan Yayasan Inovasi Malaysia berusaha memperluas pengetahuan serta kemahiran menyelamatkan nyawa dalam kalangan masyarakat.

Pada 12 September lalu, latihan CPR dilaksanakan bersama Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia menerusi Program Baktisiswa 5.0 di Kampung Orang Asli Changkat Bintang, Hulu Selangor. Sementara pada 26 September pula, program kesedaran dan latihan Bantuan Asas Hayat turut diadakan di Surau At-Taqwa, Bukit Bandaraya, Shah Alam, sempena sambutan FIMA Lifesaver.

Kerjasama universiti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat dapat memperluas akses kepada latihan ini.

Sekolah, tempat kerja, rumah ibadat serta persatuan penduduk juga boleh menjadi wadah untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat.

Setiap individu berpeluang menjadi penyelamat dengan mempelajari teknik yang betul dan berani bertindak secara selamat. Penyertaan dalam MyResQ dapat membantu membentuk komuniti yang lebih bersedia menghadapi kecemasan, sekali gus meningkatkan peluang mangsa mendapatkan bantuan awal sebelum pasukan perubatan tiba. –UTUSAN

DR. RAFI’ UDDIN RADZI RUSLAY dan DR. MOHD HAFYZUDDIN MD. YUSUF
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini