PRN Melaka: Pilih pemimpin berwibawa

PRN Melaka: Pilih pemimpin berwibawa

PENGUNDI perlu memilih pemimpin berintegriti dan berkeupayaan demi menjamin masa depan Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kembali dipalu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengundi di 28 kawasan bakal memikul tanggungjawab besar menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam keghairahan kempen, kibaran bendera parti dan pelbagai janji politik, satu persoalan penting perlu diberikan perhatian, apakah ukuran sebenar untuk memilih wakil rakyat yang berkualiti?

Dari perspektif pentadbiran awam dan analisis dasar, pilihan raya bukan sekadar pertandingan populariti atau retorik politik. Sebaliknya, proses ini menentukan individu yang akan menggubal undang-undang, meluluskan belanjawan serta memantau pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesilapan memilih wakil rakyat bukan sahaja menjejaskan kepentingan penduduk setempat, malah boleh membantutkan pembangunan ekonomi dan keberkesanan pentadbiran secara keseluruhan.

Oleh itu, terdapat empat kriteria utama yang wajar dijadikan panduan oleh pengundi:

1.Keupayaan memahami dan menggubal dasar
Tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan sekadar menghadiri persidangan tetapi turut melibatkan perbahasan belanjawan, penelitian perbelanjaan serta cadangan penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Calon perlu mempunyai pengetahuan mengenai pentadbiran, perlembagaan dan perundangan negeri. Latar belakang profesional, pencapaian akademik serta pengalaman turut boleh dijadikan pertimbangan dalam menilai kemampuan mereka.

2. Integriti dan akauntabiliti
Tadbir urus yang baik bergantung pada ketelusan serta kebertanggungjawaban pemimpin. Pengundi perlu meneliti rekod lampau calon, termasuk sebarang dakwaan berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Wakil rakyat yang amanah juga perlu telus dalam menguruskan peruntukan kawasan serta bersedia menjelaskan tindakan dan keputusan kepada masyarakat.

3. Menawarkan penyelesaian berasaskan bukti
Melaka memerlukan dasar yang mampu menangani cabaran sebenar, termasuk kelestarian pelancongan, pengurusan banjir, pembangunan belia, bekalan air dan keterjaminan makanan.
Calon tidak seharusnya sekadar mengemukakan janji menarik tanpa mengambil kira kemampuan kewangan negeri. Sebaliknya, mereka perlu membentangkan perancangan yang realistik, berasaskan data dan boleh dilaksanakan.

4. Komitmen terhadap khidmat masyarakat
Hubungan dengan rakyat tidak sepatutnya terjalin hanya ketika musim pilihan raya. Wakil rakyat berkualiti perlu sentiasa mendengar keluhan penduduk, mengenal pasti masalah setempat dan membantu menghubungkan masyarakat dengan agensi kerajaan.
Peranan ini penting bagi memastikan aduan dapat ditangani dengan cekap serta kepentingan komuniti terus terbela.

5. Matang memilih demi masa depan Melaka
Sebagai negeri yang kaya dengan sejarah dan mempunyai potensi ekonomi strategik, Melaka memerlukan kepimpinan yang berwibawa serta berpandangan jauh.
Justeru, pengundi perlu mengelakkan keputusan berdasarkan sentimen sempit, taasub kepartian atau imbuhan sementara. Sebaliknya, gunakan tempoh kempen untuk meneliti manifesto, mengikuti dialog calon dan menilai kemampuan mereka menjawab persoalan berkaitan dasar serta pembangunan negeri. –UTUSAN

MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Pensyarah, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini