Insentif perkahwinan jangan galakkan kahwin bawah umur

Insentif perkahwinan jangan galakkan kahwin bawah umur

INSENTIF perkahwinan perlu mengutamakan golongan dewasa tanpa membuka ruang kepada perkahwinan bawah umur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Ogos lalu, Dewan Belia Negeri Perak meluluskan sebulat suara cadangan memperkenalkan Insentif Perkahwinan Kali Pertama sebanyak RM500 kepada golongan berumur antara 15 hingga 35 tahun. Cadangan itu akan dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk penelitian sebelum dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2027.

Walaupun bertujuan membantu golongan muda, penetapan kelayakan seawal usia 15 tahun menimbulkan persoalan kerana berpotensi menjadi galakan tidak langsung terhadap perkahwinan bawah umur. Niat yang baik perlu disertai pertimbangan teliti agar tidak menjejaskan kepentingan generasi muda.

Dari sudut perundangan, Malaysia mempunyai kerangka berasingan bagi perkahwinan orang Islam dan bukan Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Perak, Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 menetapkan umur minimum perkahwinan bagi lelaki ialah 18 tahun dan perempuan 16 tahun, kecuali dengan kebenaran bertulis Hakim Syarie.

Bagi bukan Islam pula, Seksyen 10 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menetapkan had 18 tahun, dengan pengecualian tertentu bagi perempuan berumur 16 tahun melalui lesen yang dibenarkan.

Perkahwinan bukan sekadar ikatan peribadi, sebaliknya institusi yang membawa hak dan tanggungjawab jangka panjang.

Seksyen 11 Akta Kontrak 1950 pula menetapkan kelayakan membuat kontrak berdasarkan umur dewasa, manakala Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 menetapkan usia dewasa di Malaysia ialah 18 tahun. Justeru, pemberian insentif kepada individu berumur 15 hingga 17 tahun wajar dinilai semula.

Lebih membimbangkan, bantuan RM500 berisiko menjadi dorongan kewangan kepada keluarga miskin tegar untuk mengahwinkan anak demi mengurangkan beban tanggungan. Keadaan ini boleh mengorbankan pendidikan serta peluang mereka membina masa depan.

Menurut data Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak berkahwin setiap tahun di Malaysia pada 2018, dengan 90 peratus daripadanya perempuan.

Perkahwinan pramatang boleh menyebabkan keciciran pendidikan, kemiskinan berpanjangan, kehilangan peluang ekonomi serta meningkatkan risiko keganasan rumah tangga dan gangguan psikologi.

Cadangan ini juga perlu mengambil kira semangat Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang diusahakan pada 2020.

Justeru, kerajaan negeri perlu menyemak semula syarat kelayakan agar selaras dengan perundangan dan kepentingan sosial. Insentif menggunakan wang awam sewajarnya diberikan kepada individu yang telah mencapai usia dewasa supaya bantuan tersebut benar-benar memperkukuh institusi keluarga, bukannya membuka ruang kepada perkahwinan kanak-kanak. –UTUSAN

 

A’LIEYAA ZULFA ASMADI
Pelajar Undang-Undang,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini