BEIJING: Sekurang-kurangnya 14 maut dalam kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri di bandar Taiyuan, wilayah Shanxi, utara China, menurut media kerajaan hari ini.
Angka korban itu meningkat daripada lima orang yang dilaporkan meninggal dunia pada malam Ahad.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kebakaran berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam waktu tempatan.
Seramai 38 mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun 14 daripada mereka disahkan meninggal dunia setakat pagi ini.
Operasi memadam kebakaran selesai pada hari kejadian, manakala usaha mencari dan menyelamat turut ditamatkan, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Insiden itu menambah rekod kebakaran maut di China yang sering dikaitkan dengan kelemahan penguatkuasaan peraturan keselamatan bangunan dan tempat kerja.
November tahun lalu, China melancarkan kempen membanteras risiko kebakaran di bangunan bertingkat tinggi susulan tragedi kebakaran besar di Hong Kong yang memusnahkan beberapa blok pangsapuri dan mengorbankan 168 orang.
Sebulan selepas itu, kebakaran di sebuah bangunan kediaman di wilayah Guangdong, selatan China, mengorbankan 12 orang.
Julai lalu, sekurang-kurangnya 28 orang maut selepas kebakaran memusnahkan sebuah kilang kasut di timur China.- AFP











