PUTRAJAYA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan tempat letak kereta bertingkat di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, Presint 17 di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisoner Aidi Sham Mohamed, berkata mangsa ditemukan orang awam di kawasan berhampiran bangunan berkenaan, jam 5.45 pagi.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala siasatan awal mendapati remaja itu dipercayai terjatuh.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di Facebook, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16(1) memaklumkan, seorang pelajar Tingkatan Lima meninggal dunia, semalam.











