Duit Aeril tinggal RM30,000, Wawa imbau kesusahan awal perkahwinan - Utusan Malaysia

Duit Aeril tinggal RM30,000, Wawa imbau kesusahan awal perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Wawa Zainal mengakui kehidupan rumah tangganya bersama suami yang juga aktor, Aeril Zafrel, tidak semewah seperti yang dikecapi mereka hari ini, terutama ketika awal mendirikan rumah tangga.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 34, berkata, mereka pernah berdepan kesukaran kewangan sehingga terpaksa berjimat cermat bagi memastikan keperluan anak sulung mereka mencukupi.

Menurutnya, ketika itu dia tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan Aeril sebagai pelakon untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara yang memberikan saya kekuatan sudah semestinya anak. Ketika itu kami baru dikurniakan anak pertama dan kehidupan memang susah kerana duit pun tidak banyak.

“Saya masih ingat duit dalam akaun Aeril ketika itu hanya RM30,000. Bagi seorang pelakon, jumlah itu sebenarnya kecil apabila perlu membeli pelbagai barangan bayi.

“Ketika itu saya tidak bekerja, hanya Aeril yang mencari rezeki. Jadi, kami memang perlu berjimat cermat termasuk soal makan,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Pelakon  itu turut mengakui pernah berasa serba salah untuk meminta wang daripada suaminya bagi membeli barangan keperluan peribadi, termasuk alat solek dan produk penjagaan kulit.

Katanya, keadaan kewangan keluarga ketika itu membuatkan dia lebih berhati-hati dalam berbelanja kerana memahami suaminya juga perlu menguruskan perbelanjaan rumah tangga.

“Sebagai perempuan, sudah tentu ada keinginan untuk membeli sesuatu, termasuk barang solekan dan produk penjagaan kulit.

“Tetapi apabila hendak meminta wang daripada Aeril, saya rasa bersalah kerana tahu keadaan kewangan kami ketika itu cukup-cukup sahaja.

“Keadaan itu mendorong saya mencari sesuatu yang boleh memberikan pendapatan sendiri. Saya mahu memberikan yang terbaik untuk anak,” ujarnya.

Untuk rekod, Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada 2013.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 13, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 10, Ayya Soffya, 6, dan Muhammad Fahri, lima tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini