AMPANG: Penyanyi veteran, Uji Rashid, mengakui masih sukar menerima kenyataan kehilangan anak tunggalnya, Cico Harahap yang meninggal dunia pada usia 48 tahun, pagi tadi.
Bagaimanapun, Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid, 73, memilih untuk reda dengan ketentuan Ilahi selepas menganggap pemergian anak yang dibesarkan selama 48 tahun itu sebagai satu kehilangan besar dalam hidupnya.
Menurutnya, kata-kata rakan yang mengingatkannya bahawa setiap insan hanyalah pinjaman daripada Tuhan sedikit sebanyak membantu dirinya menerima ketentuan tersebut.
“Saya ada bercakap dengan rakan dan beritahu tidak boleh terima. Tetapi dia kata saya kena reda kerana ini adalah pinjaman Tuhan. Saya ingat semua kata-kata itu dan cuba menerimanya.
“Mudah-mudahan Tuhan ampunkan dosa dia dan ditempatkan di tempat yang terpilih. Itu sahaja harapan saya.
“Saya minta semua tidak membuat sebarang andaian. Saya tidak mahu perkara itu berlaku. Cukuplah semua orang mendoakan sahaja,” katanya.
Uji ditemui selepas selesai pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, petang tadi.

Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farouk Harahap menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Selangor, kira-kira pukul 11 pagi selepas sekian lama berdepan masalah kesihatan.
Mengulas keadaan kesihatan anaknya, Uji berkata, Allahyarham sudah hampir 11 tahun mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan dalam badan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan Cico menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini apabila dia kembali aktif bersenam di gimnasium sehingga empat kali seminggu.
“Dia sudah sakit selama 11 tahun. Tetapi kebelakangan ini dia sihat dan boleh pergi gimnasium empat kali seminggu.
“Minggu lepas dia sudah mula sakit. Sebelum ini, dia pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas,” katanya.
Dalam pada itu, Uji turut berkongsi kenangan bersama anaknya yang disifatkan tidak pernah berjauhan sejak Cico dilahirkan.
Antara perkara yang paling diingatinya ialah sikap Allahyarham yang gemar bergurau dengannya dengan mendakwa dirinya lebih muda berbanding ibunya.
Malah, Uji berkata, dia sempat membantu anaknya mengambil wuduk sebelum dimasukkan ke hospital memandangkan Allahyarham tidak mahu meninggalkan solat.
“Kami memang tidak pernah berjauhan sejak dia dilahirkan. Dia selalu bergurau dengan memberitahu saya bahawa dia lebih muda.
“Sebelum dimasukkan ke hospital, saya sempat membantu dia berwuduk kerana dia tidak mahu meninggalkan solat,” katanya.











