KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menyepi daripada perhatian umum, penyanyi Uchop Ahmad kembali mewarnai industri muzik menerusi single terbaharu berjudul Aku Tekad yang membawa kisah perjuangan hidup dan semangat untuk bangkit semula.
Uchop berkata, tempoh menyepi sebelum ini digunakan untuk memberi perhatian kepada keluarga, khususnya menemani anak lelakinya yang berdepan tekanan emosi ketika melalui pengalaman dalam industri seni.
Menurutnya, kemunculan semula menerusi lagu itu turut didorong keinginan untuk menunjukkan kepada anaknya bahawa setiap cabaran kehidupan boleh dihadapi dengan usaha, keberanian dan kesungguhan dalam mengejar cita-cita.
Peluang bekerjasama dengan Aryan Putra Entertainment (APE) menerusi sokongan pasukan A*CAP (Archive Capital) turut memberikan sinar baharu kepada perjalanan seninya.
Uchop mengakui kepercayaan yang diberikan pasukan berkenaan meningkatkan semangatnya untuk terus berkarya dan membuktikan kemampuan sebagai penyanyi.
Mengekalkan genre rock balada yang sebati dengan jiwanya, Aku Tekad merupakan hasil ciptaan bersama Aryan Putra dan Uchop, manakala liriknya ditulis Aryan Putra dengan Rudy Nastia bertindak sebagai produser muzik.
Kisah kehidupan penyanyi itu turut diterjemahkan menerusi muzik video arahan Esham Shahlin yang mengetengahkan pengalaman peribadi, keluarga dan persahabatan.
Menerusi karya berkenaan, Uchop berharap mesej perjuangannya dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berusaha bangkit daripada kesukaran hidup.











