KUALA LUMPUR: Penyanyi Pasya menyifatkan kerjasama bersama Aryan Putra Entertainment (APE) dan A*CAP (Archive Capital) menerusi single terbaharunya, Tak Tertanggung Lagi, sebagai pengalaman bermakna sepanjang perjalanan seninya.
Pasya yang dikenali menerusi program Mentor 7 berkata, komitmen pasukan produksi dalam menguruskan setiap aspek projek itu membuatkannya berasa dihargai meskipun penglibatannya hanya khusus untuk single berkenaan.
Menurutnya, perancangan terperinci merangkumi penyusunan jadual, perbincangan idea, sesi fotografi dan penghasilan muzik video memberikan pengalaman berbeza selain membuka ruang untuknya mempelajari perkara baharu.
Lagu yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu itu merupakan hasil ciptaan Aryan Putra dan diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang sahabat rapat yang melalui kegagalan rumah tangga.
Pasya berkata, kisah tersebut memberi cabaran tersendiri untuknya menyampaikan emosi kecewa dan pergolakan perasaan secara jujur.
Cabaran itu turut diteruskan dalam penghasilan muzik video apabila Pasya perlu menggalas watak beremosi serta menjayakan beberapa babak aksi atau stunt buat pertama kali.
Muzik video arahan Esham Shahlin itu menampilkan interpretasi kreatif terhadap konflik hubungan berkenaan, bukannya gambaran semula keseluruhan kejadian sebenar.
Dalam perkembangan sama, Tak Tertanggung Lagi berjaya mendapat tempat dalam senarai main platform penstriman pada hari pertama pelancarannya.
Pasya berharap lagu dan muzik video rasmi yang dilancarkan pada 5 November itu dapat menarik lebih ramai pendengar untuk menghayati kisah yang dibawakan.











