Sekolah agama kerugian RM5,000 dipecah masuk pencuri

Sekolah agama kerugian RM5,000 dipecah masuk pencuri

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sekolah agama Taman Pulai Indah (SATPI), di sini mengalami kerugian kira-kira RM5,000 selepas sekolah tersebut dipercayai dipecah masuk dalam kejadian awal pagi kelmarin.

SATPI dalam satu kenyataan berkata, antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi itu ialah komputer riba, televisyen pintar, kamera litar tertutup (CCTV) ‘Cloud Box’ serta peti besi.

Menurut kenyataan itu, pintu dan tingkap pejabat sekolah berkenaan turut dipecahkan dalam kejadian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang guru lelaki sekolah berkenaan.

“Kita ada terima laporan polis daripada seorang lelaki iaitu guru sekolah itu memaklumkan tentang kejadian terbabit.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Kerugian sebanyak RM5,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

SATPI dalam kenyataan yang sama memohon ibu bapa, penjaga dan seluruh warga SATPI mendoakan kesejahteraan serta keselamatan seluruh warga sekolah serta berharap siasatan polis berjalan lancar.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, memberikan kekuatan kepada pihak sekolah dan memelihara SATPI daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Pihak sekolah juga berharap siasatan oleh pihak polis berjalan lancar dan pelaku dapat dikenal pasti serta ditangkap dalam kadar segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini