Pernah terperangkap hubungan toksik, Sophia Albarakbah akui bukan mudah ‘angkat kaki’ - Utusan Malaysia

Pernah terperangkap hubungan toksik, Sophia Albarakbah akui bukan mudah ‘angkat kaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Sophia Albarakbah mendedahkan pernah melalui fasa sukar apabila terperangkap dalam hubungan toksik.

Sophia, 33, berkata, dia tidak menafikan pernah bersikap skeptikal terhadap wanita yang gagal meninggalkan pasangan masing-masing dalam hubungan tidak sihat.

Bagaimanapun, selepas melalui sendiri pengalaman itu, dia mula memahami bahawa keputusan untuk keluar daripada hubungan sedemikian bukanlah semudah yang disangka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu, kalau saya dengar orang terperangkap dalam hubungan toksik, saya akan cakap, ‘Alah, kenapa nak duduk situ lagi? Keluar sajalah’.

“Namun, selepas saya sendiri melaluinya, barulah saya faham betapa perit dan sukarnya untuk membuat keputusan keluar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai bila pengalaman itu berlaku, Sophia bersyukur kerana pengalaman berkenaan membantunya mendalami watak dalam drama Bayangan Dendam.

Ujarnya, keterikatan emosi yang terlalu kuat dalam sesebuah hubungan sering menjadi penghalang kepada seseorang untuk melihat realiti sebenar.

“Apabila kita sedang ‘buta’ kerana cinta, memang sukar untuk berfikir secara rasional.

“Di situlah kita memerlukan kekuatan untuk menyedarkan diri semula,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sophia turut menitipkan pesanan kepada individu yang sedang berdepan situasi sama agar tidak memendam perasaan dan mengharungi masalah berkenaan secara bersendirian.

Sebaliknya, dia menyarankan mereka mendapatkan sokongan orang sekeliling selain melakukan muhasabah diri bagi mencari jalan keluar daripada hubungan tidak sihat.

“Nasihat saya, fikir masak-masak. Dengar nasihat positif daripada orang sekeliling. Banyakkan berdoa dan bercakaplah dengan orang yang kita percayai.

“Kita perlu cuba untuk kembali berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan sama ada mahu kekal atau melangkah pergi daripada hubungan itu,” katanya. 

Drama Bayangan Dendam turut menampilkan barisan pelakon seperti Nadhir Nasar dan Erysha Emyra kini sedang ditayangkan di platform penstriman Viu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini