ISTANBUL: Sasaran perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye sebanyak AS$10 bilion (RM40.6 bilion) menjelang 2030, mampu dicapai terutama melalui perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata imbangan perdagangan antara kedua-dua negara buat masa ini berpihak kepada Malaysia.
“Daripada usaha kedua-dua negara, sasaran itu boleh dicapai, terutama dari pihak Malaysia dalam memperoleh peralatan pertahanan dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk ‘Turkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor’ pada TRT World Forum 2026, di sini, semalam.
Ahli panel lain termasuk Pengarah Pengajian Dasar Luar Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA), Prof Murat Yesiltas; Felo Kanan Bukan Pemastautin Majlis Atlantik, Dr Rich Outzen; Presiden Pusat Arab Amerika, Farah Al-Atassi; dan Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Operasi Keamanan, Jean-Pierre Lacroix.
Forum bertema ‘A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?’ itu menghimpunkan pemimpin politik, pembuat dasar, ahli akademik, pengamal media dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan isu global.
Forum berkenaan dirasmikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menerima kapal misi pesisir (LMS) serta kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari Turkiye.
Beliau berkata, ia akan mengukuhkan hubungan bukan saja dalam bidang pertahanan dan keselamatan, tetapi juga dalam perdagangan.
“Saya percaya usaha berterusan akan diambil kedua-dua negara bagi mencapai sasaran berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai satu pilihan strategik, dan bukan sekadar urusan perolehan semata-mata kerana ia membabitkan pemindahan ilmu serta teknologi.
“Turkiye memegang kedudukan strategik yang menghubungkan Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan kawasan sekitarnya.
“Kerana itulah saya fikir kerjasama rapat antara Malaysia dengan Turkiye adalah penting,” katanya.
Ahmad Zahid turut menekankan bahawa Malaysia memandang status Turkiye selaku Rakan Dialog ASEAN ke-12, sebagai peluang untuk kerjasama lebih terstruktur serta memberi manfaat nyata, dan bukannya sekadar menambah satu lagi platform diplomatik.
Katanya, diplomasi ketenteraan juga penting bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil dari segi politik, serta mengelak kuasa besar daripada mempengaruhi negara anggota ASEAN.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berada di Turkiye untuk lawatan kerja empat hari dari 5 November hingga esok.
Malaysia dan Turkiye menjalinkan hubungan diplomatik pada 17 Jun 1964, dan sejak itu mengekalkan hubungan rapat dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.
Malaysia adalah antara rakan perdagangan terbesar Turkiye di Asia Tenggara.
Perdagangan dua hala kini berjumlah AS$5.6 bilion (RM22.74 bilion), dan kedua-dua negara berhasrat meningkatkannya kepada AS$10 bilion (RM40.6 bilion) menjelang 2030 susulan kesepakatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Erdogan pada Januari lalu.










