BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mendapati TikTok gagal melindungi kesihatan mental pengguna susulan pendedahan berterusan kepada kandungan berulang yang boleh memburukkan gangguan pemakanan dan kebimbangan.
Dalam keputusan awal pada Jumaat, badan kawal selia Kesatuan Eropah (EU) itu memberi amaran algoritma platform berkenaan berpotensi memudaratkan, khususnya golongan muda dan pengguna rentan yang mudah terperangkap dalam aliran kandungan tertentu.
TikTok, platform video pendek milik syarikat China, mempunyai kira-kira 189 juta pengguna di EU.
Siasatan mendapati platform itu gagal menghalang pengguna daripada terus menerima kandungan berulang berkaitan imej tubuh badan dan pengasingan diri, yang boleh mencetuskan kebimbangan, kesedihan serta memburukkan gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental sedia ada.
Pegawai EU berkata, siasatan tertumpu kepada kandungan yang sah di sisi undang-undang, namun pendedahan berulang kepada puluhan video dengan tema sama boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental pengguna.
Langkah perlindungan TikTok bagi mengatasi kesan ‘lubang arnab’, iaitu keadaan apabila algoritma terus menyajikan kandungan serupa untuk memastikan pengguna kekal menggunakan platform itu, turut didapati tidak berkesan.
Sebagai contoh, pengguna yang menekan butang tidak berminat pada video berkaitan corak pemakanan masih akan menerima cadangan kandungan serupa mengenai diet dan imej tubuh badan.
Malah, tindakan memuat semula paparan kandungan juga hanya memberikan kelegaan sementara sebelum pengguna kembali disajikan video dengan tema sama.
Dakwaan awal itu menyentuh model perniagaan TikTok yang bergantung pada algoritma bagi mengekalkan penglibatan pengguna melalui cadangan kandungan berterusan.
Siasatan berkenaan memberi tekanan kepada model perniagaan TikTok yang bergantung pada usaha memastikan pengguna terus menatal kandungan selama mungkin.
Pegawai EU mahu TikTok mengubah reka bentuk paparan For You bagi membolehkan pengguna mempunyai kawalan lebih besar terhadap kandungan yang dipaparkan.
“Kami sedang meneliti model perniagaan itu,” kata seorang pegawai Suruhanjaya Eropah kepada pemberita.
Beliau berkata, model perniagaan yang terlalu menumpukan kepada penglibatan pengguna berpotensi mendatangkan risiko, khususnya kepada golongan bawah umur dan dewasa yang rentan.- AGENSI











