PUTRAJAYA: Kegagalan mematuhi piawaian halal boleh menyebabkan rumah sembelih berdepan tindakan termasuk pengeluaran notis ketidakakuran, penggantungan atau penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, terdapat 218 rumah sembelih di seluruh negara disahkan memiliki sijil itu setakat 2 November lalu.
Katanya, pemantauan terhadap rumah sembelih yang memiliki SPHM dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur penyembelihan halal sentiasa terjamin.
Katanya, pemeriksaan dilakukan tanpa pemakluman awal dan merangkumi penelitian dokumen, temu bual petugas serta pengambilan gambar dan sampel sebagai bahan pembuktian.
“Jika ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan pensijilan boleh diambil termasuk pengeluaran notis ketidakakuran, penggantungan atau penarikan balik SPHM mengikut kategori ketidakakuran dan prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kira-kira 40,000 ekor ayam yang disembelih dan diproses serta dipasarkan setiap hari oleh sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir di Puchong diragui status halalnya.
Keraguan itu timbul selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa yang mendapati premis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib.
Pekerja-pekerja di premis yang telah beroperasi selama 10 tahun itu juga merupakan individu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dipercayai tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.
Difahamkan Jakim beberapa kali melakukan pemeriksaan serta mengeluarkan teguran kepada pihak pengurusan kilang berkenaan, namun kilang berkenaan masih gagal mematuhi teguran diberikan khususnya berkaitan prosedur pengendalian dan penyembelihan ayam ditetapkan.
Beliau berkata, pemeriksaan juga boleh dilakukan berulang kali berdasarkan tahap pematuhan, penemuan terdahulu, aduan atau keperluan mengesahkan keberkesanan tindakan pembetulan.
Mengulas bidang kuasa Jakim, Sirajuddin berkata, pemantauan dan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada rumah sembelih yang memiliki SPHM, malah turut merangkumi premis yang tidak mempunyai sijil berkenaan sekiranya berlaku penyalahgunaan logo atau representasi halal.
Katanya, tindakan boleh diambil berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
“Jika sesebuah premis menggunakan logo halal tanpa perakuan yang sah atau membuat representasi halal yang menyalahi peruntukan tersebut, tindakan boleh diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti, walaupun premis itu bukan pemegang SPHM.
“Penguatkuasaan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pegawai Jakim atau pihak berkuasa agama negeri yang diberi kuasa, mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya mengesyaki berlaku sebarang penyelewengan berkaitan halal, termasuk penyalahgunaan logo, perihal atau dakwaan halal yang boleh mengelirukan pengguna.
Katanya, aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM di https://islam.spab.gov.my/.
Pengadu juga digalakkan mengemukakan maklumat lengkap termasuk nama dan alamat premis, gambar atau rakaman berkaitan, resit pembelian jika ada, tarikh kejadian serta penerangan ringkas bagi membantu mempercepatkan siasatan.
Tambahnya, tindakan terhadap pemegang SPHM yang melanggar standard halal bergantung kepada kategori ketidakakuran sama ada kecil, besar atau serius.
Antara tindakan yang boleh dikenakan ialah pengeluaran Notis Ketidakakuran Pensijilan Halal Malaysia, penggantungan atau penarikan balik SPHM.
“Tindakan pembetulan semata-mata tidak menjadikan sembelihan yang tidak halal itu halal sekiranya berlaku pelanggaran serius berkaitan syariah,” katanya. – UTUSAN











