Duit syiling papar wajah Maharaja Rom ditemukan - Utusan Malaysia

Duit syiling papar wajah Maharaja Rom ditemukan

Duit syiling papar wajah Maharaja Rom (gambar kecil) ditemukan. - Tentera Sweden/Muzium Gotlands
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Pasukan arkeologi di Sweden membuat penemuan luar biasa apabila menemukan 45 keping syiling perak purba dari era Empayar Rom, terma­suk dua daripadanya yang dipercayai merupakan syiling tiruan.

Penemuan bersejarah di pangkalan tentera itu diumumkan secara rasmi oleh Angkatan Tentera Sweden berikutan kerja-kerja penggalian di tapak berkenaan, baru-baru ini.

Kesemua artifak berkenaan ditemukan ketika ekskavasi arkeologi dijalankan bagi me­rancang pembesaran pangkalan tentera Rejimen Gotland di pulau berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa salah satu siri penggalian dijalankan, satu pe­nemuan luar biasa telah direkodkan iaitu harta karun perak bersama syiling Rom yang berasal dari abad kedua Masihi,” menurut kenyataan Angkatan Tentera Sweden.

Penemuan itu berlaku ketika pasukan pakar arkeologi sedang menyempurnakan fasa akhir penggalian asas sebuah rumah ladang purba yang berasal dari Zaman Penghijrahan iaitu sekitar abad kelima hingga keenam Masihi.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa pasukan arkeologi me­lakukan imbasan terakhir menggunakan alat pengesan logam sebelum menemui artifak berharga berkenaan.

“Bunyi amaran berterusan daripada alat pengesan logam menandakan wujud objek tersembunyi di dalam tanah berhampiran salah satu batu asas bangunan,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebaik sahaja lapisan tanah pada kepingan pertama dibersih­kan, pakar menemukan ukiran potret Maharaja Rom Antoninus Pius yang memerintah dari tahun 138 hingga 161 Masihi.

Pemeriksaan lanjut di kawasan batu asas yang sama membawa kepada penemuan keseluruhan 45 keping syiling perak dan sebentuk cincin emas purba sebelum sesi kerja hari tersebut berakhir.

Hasil analisis pakar syiling Rom tempatan, Lennart Lind mengesahkan bahawa kesemua syiling terbabit ditempa pada abad kedua Masihi bagi lima maharaja dan empat maharani Rom.

Syiling berkenaan memaparkan wajah Maharaja Trajan, Hadrian, Antoninus Pius, Marcus Aurelius dan Commodus, manakala empat maharani ter­babit ialah Vibia Sabina, Faustina I, Faustina II serta Lucilla.

Pakar percaya syiling ber­kenaan dibawa masuk ke pulau Gotland pada abad keempat Masihi dan digunakan dalam urusan perdagangan merentasi beberapa generasi sebelum ditanam bersama cincin emas sekitar tahun 450 Masihi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini