SUNGAI PETANI: Tindakan dua sahabat cuba berteduh di bawah jejambat bagi mengelak hujan mengundang padah apabila seorang maut manakala, seorang lagi parah selepas motosikal mereka tunggang bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 96.2 Lebuhraya Utara-Selatan di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa Mohd Khairul A’zami Mohd Nazeri, 23, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan,manakala rakannya Muhammad Adib Zamri,23, cedera parah di bahagian kaki dan badan.
Pemandu treler berumur 40 tahun dan berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku semasa kedua-dua rakan sekampung daripada Kampung Permatang Kong, Mukim Padang Hang, Alor Setar itu cuba berhenti untuk berteduh ketika hujan lebat tengah malam tadi.
“Mereka berdua menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Alor Setar dan dalam perjalanan ke Sungai Petani dipercayai bergesel sesama sendiri
ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain yang turut berhenti di bawah jejambat tersebut.
“Kenderaan ditunggang kemudian bergesel pula dengan sebuah treler yang berada di lorong sama sebelum Mohd A’zami terjatuh ke bawah kenderaan berat
itu lalu digilis dan diseret,” katanya.
Kata Hanyan, akibat kejadian itu, motosikal dua rakan itu rosak teruk manakala treler jenis Volvo FH440 I itu tidak mengalami sebarang kerosakan.
“Mangsa yang maut di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat manakala rakannya yang cedera turut dihantar untuk rawatan lanjut di hospital sama.
“Kita menahan pemandu treler untuk dirakam keterangan dan saringan air kencingnya didapati negatif dadah dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.











