KUALA SELANGOR: Masjid At Taufiqiah, Bandar Seri Coalfields di sini, yang mendapat jolokan `masjid banjir’ tetap akan mengadakan solat Jumaat hari ini biarpun ditimpa musibah banjir lumpur Rabu lalu.
Pengerusi masjid, Dr. Masrom Mohd Khair berkata masjid berkenaan yang sudah tujuh kali ditenggelami banjir lumpur sedang giat menjalani proses pembersihan.
Menurutnya, pihak pengurusan Lebuhraya LATAR menghantar beberapa pekerja dan peralatan water jet untuk membersihkan lumpur yang menenggelamkan bahagian dalam masjid.
“Hari ini, beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut turun padang bagi membantu membersihkan masjid ini terutama di bahagian perkarangan dan dalam masjid.
“Biarpun terdapat ramalan cuaca bahawa banjir akan berulang namun pihak pengurusan masjid tetap meneruskan solat berjemaah bermula semalam.
“Seramai 13 hingga 14 orang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid sudah membersihkan kawasan solat utama. Bagaimanapun, pihak masjid mengambil langkah tidak memasang permaidani bagi mengelak ia rosak akibat banjir,” katanya tadi.
Menurutnya, pihak masjid meminta jemaah yang hadir membawa sejadah masing-masing.
“Pihak pengurusan masjid turut memaklumkan bahawa solat Subuh kembali diadakan pagi semalam dan solat Jumaat tetap diteruskan hari ini dengan kapasiti yang sangat terhad.
“Bagi mematuhi syarat sah solat Jumaat dalam keadaan terhad ini, pihak masjid menetapkan sasaran kehadiran seramai 40 hingga 50 orang sahaja. Pihak pengurusan turut memohon maaf kepada jemaah yang terpaksa menunaikan solat di luar kebiasaan dan menyarankan penduduk menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran,” katanya.
Sementara itu setiausaha masjid berkenaan, Mohd Fazlizam Lod berkata, aktiviti gotong-royong turut dilakukan hari ini membabitkan pihak jabatan agama serta pelbagai NGO.
Dia bagaimanapun bersyukur berikutan hujan lebat petang semalam tidak mencetuskan tragedi banjir besar seperti Rabu lalu.











