Keinginan untuk memiliki kediaman yang kemas, moden dan selesa mendorong Norsyafiqa Mohd Taib, 36, memilih konsep moden minimalis dengan sentuhan gaya kontemporari rona neutral sebagai tema utama dekorasi rumahnya.
Gabungan kedua-dua konsep itu menghasilkan suasana ringkas tetapi tetap mempunyai nilai estetika tersendiri menerusi pemilihan warna neutral, kemasan kayu dan reka bentuk perabot yang tidak keterlaluan.
Menurutnya, inspirasi dekorasi berkenaan banyak diperoleh menerusi Pinterest serta laman dekorasi yang mengetengahkan gabungan elemen semula jadi dengan gaya moden.
Dia mahu memastikan setiap ruang kelihatan menarik tanpa dipenuhi terlalu banyak perhiasan sehingga menjadikan kediaman tampak sesak.
Gabungan warna neutral dan elemen kayu
Pemilihan warna menjadi antara aspek utama yang diberikan perhatian bagi memastikan keseluruhan dekorasi mempunyai kesinambungan dan kelihatan harmoni.
Norsyafiqa memilih gabungan warna putih, coklat kayu dan walnut bagi mewujudkan suasana hangat, tenang serta selesa untuk seisi keluarga.
“Warna-warna ini membantu menghasilkan suasana yang warm, cozy dan harmoni,” katanya kepada Seri.
Selain warna, penggunaan material kayu menjadi elemen penting dalam memberikan karakter kepada ruang tamu menerusi pemasangannya pada panel dinding, kabinet televisyen dan rak hiasan.

Kemasan kayu berkenaan bukan sahaja menampilkan sentuhan semula jadi, malah membantu mewujudkan penampilan lebih eksklusif tanpa memerlukan penggunaan hiasan yang berlebihan.
Penggunaan panel menegak pada bahagian dinding turut memberikan dimensi berbeza sekali gus menjadikan ruang kelihatan lebih menarik dan tidak terlalu kosong.
Dinding televisyen menjadi tarikan utama
Antara sudut yang paling mencuri perhatian ialah bahagian dinding televisyen yang direka menggunakan elemen gerbang atau arch sebagai tarikan utama ruang tamu.
Reka bentuk melengkung itu memberikan kelainan berbanding dinding televisyen biasa yang lazimnya menggunakan garisan lurus dan kemasan sederhana.
Menurut Norsyafiqa, pemilihan bentuk lengkungan (arch) bertujuan menjadikan bahagian berkenaan sebagai titik tumpuan utama selain memberikan identiti tersendiri kepada ruang tamu.

Kabinet televisyen minimalis berwarna putih dengan kemasan permukaan walnut pula melengkapkan penampilan sudut berkenaan agar kelihatan lebih seimbang.
Kabinet itu turut dipilih berdasarkan fungsinya sebagai ruang penyimpanan supaya barangan harian dapat disusun dengan lebih teratur dan tidak dibiarkan bersepah.
Rak hiasan yang diletakkan di bahagian sisi pula berfungsi sebagai pelengkap dekorasi tanpa mengambil terlalu banyak ruang lantai.
Dalam memastikan ruang tamu kekal selesa, susun atur perabot dirancang berdasarkan fungsi, keseimbangan visual dan kelancaran pergerakan penghuni.
Bahagian dinding televisyen dijadikan titik tumpuan, manakala kedudukan kabinet disesuaikan dengan keluasan ruang supaya tidak mengganggu laluan.
Utamakan fungsi dan keselesaan
Penggunaan kabinet tertutup turut menjadi antara pendekatan Norsyafiqa bagi memastikan barangan harian dapat disimpan dengan baik tanpa menjejaskan penampilan ruang.
Dari segi pencahayaan, dia lebih mengutamakan suasana lembut dan tidak terlalu terang bagi mengekalkan persekitaran yang menenangkan.
Pada waktu siang, pencahayaan semula jadi yang masuk menerusi tingkap dimanfaatkan bagi memastikan ruang kelihatan lebih cerah dan segar.

Bagaimanapun, proses menghias kediaman bukan tanpa cabaran, terutama dalam memastikan setiap elemen yang dipilih bersesuaian dari segi warna, saiz dan reka bentuk.
Pengurusan bajet juga memerlukan perancangan teliti kerana beliau tidak mahu melakukan semua perubahan dalam satu masa, sebaliknya mengutamakan bahagian yang mampu memberikan impak besar kepada keseluruhan ruang.
Bagi pemilihan perabot, ukuran ruang perlu diambil terlebih dahulu supaya barangan yang dibeli tidak terlalu besar sehingga mengganggu pergerakan penghuni.
Berkongsi tip kepada mereka yang ingin mengetengahkan konsep serupa, Norsyafiqa menyarankan supaya tema dekorasi ditentukan lebih awal sebelum membeli perabot atau aksesori.
Dia turut menggalakkan penggunaan warna asas neutral seperti putih dan coklat kayu kerana mudah dipadankan, selain memilih perabot yang mempunyai fungsi penyimpanan serta mengelakkan penggunaan terlalu banyak aksesori.











