Iklan pekerjaan bawa Helen Sharman ke angkasa lepas

Iklan pekerjaan bawa Helen Sharman ke angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka iklan pekerjaan yang ditemukan secara tidak sengaja mengubah kehidupan Helen Sharman daripada seorang ahli sains makanan kepada individu pertama dari Britain yang mengembara ke angkasa lepas.

Ketika itu, Sharman berusia 27 tahun dan bekerja sebagai ahli sains makanan sebelum menemukan iklan pengambilan calon untuk menyertai Project Juno, sebuah usaha sama komersial antara Britain dengan Kesatuan Soviet bagi menghantar angkasawan Britain ke stesen angkasa Mir.

Namun, beliau tidak pernah benar-benar menyangka akan terpilih untuk menyertai misi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang proses pemilihan, saya tidak pernah benar-benar percaya bahawa saya akan menjadi orang yang terpilih,” katanya kepada BBC News pada 1991.

Peluang itu akhirnya membawa Sharman ke angkasa lepas apabila beliau berlepas menaiki kapsul Soyuz TM-12 milik Soviet pada 18 Mei 1991.

Beliau menghabiskan lapan hari di stesen angkasa Mir, sekali gus mencipta sejarah sebagai individu pertama dari Britain yang mengembara ke angkasa lepas.

Ketika itu, kerajaan Britain tidak terlibat dalam penerokaan angkasa lepas, menyebabkan pembiayaan komersial melalui program Soviet menjadi jalan untuk beliau menyertai misi berkenaan.

LATIHAN DI BANDAR RAHSIA

Perjalanan Sharman ke angkasa lepas bermula dengan latihan intensif selama 18 bulan di Star City, Russia, sebuah pusat latihan angkasawan di pinggir Moscow yang pernah dirahsiakan ketika era Soviet.

Beliau meninggalkan rutin berulang-alik ketika waktu sibuk dari apartmen studionya di Surbiton, London, untuk menjalani latihan di kemudahan yang pada asalnya hanya dikenali sebagai Unit Tentera 26266, di kawasan yang ditetapkan sebagai ‘perkampungan tentera tertutup No. 1’.

Ketika era Soviet, Star City merupakan pangkalan tentera yang dikawal ketat dan akses ke kawasan itu sangat terhad.

Angkasawan NASA, Michael Barratt, dalam kenyataannya pada 1998, menggambarkan Star City sebagai bandar tersembunyi yang tidak dipaparkan dalam peta, meskipun lokasinya diketahui umum.

“Ia merupakan pangkalan latihan angkasawan yang dirahsiakan. Sudah tentu, semua orang tahu lokasinya, tetapi kawasan itu dianggap sebagai bandar tertutup dengan kawalan keselamatan ketat,” katanya.

Bagaimanapun, menjelang 1990, beberapa warga asing dibenarkan memasuki kawasan itu susulan dasar pembaharuan yang diperkenalkan pemimpin Soviet, Mikhail Gorbachev, ketika Kesatuan Soviet menghampiri penghujung kewujudannya.

Sepanjang menjalani latihan untuk membiasakan diri dengan keadaan tanpa graviti, Sharman tinggal di sebuah apartmen luas dan disediakan kereta Volga bersama pemandu.

Namun, beliau lebih gemar memandu sendiri sehingga mengatur penghantaran sebuah kereta Ford Escort dari Finland.

Sharman merupakan antara empat calon terakhir yang dipilih daripada 13,000 pemohon untuk meneruskan proses pemilihan di Star City.

Bapanya, John, pernah menjelaskan kemungkinan sebab anaknya terpilih dalam temu bual bersama BBC pada 1991. Beliau merujuk kepada laporan akhbar yang menyatakan semua kru perlu menjalani latihan menggunakan meja condong setiap hari bagi membiasakan diri dengan keadaan tanpa graviti.

Bagaimanapun, Sharman hanya perlu menjalani latihan itu dua kali sepanjang minggu kerana beliau cepat menguasai teknik mengendalikan diri dalam keadaan tanpa graviti.

Dalam memoirnya, Sharman menyifatkan tempoh di Star City sebagai antara fasa paling penting dalam hidupnya, malah lebih mempengaruhi pandangan dan pemikirannya berbanding pengalaman berada di angkasa lepas.

PERSAHABATAN RENTAS SEMPADAN

Selain mencipta sejarah buat Britain, penyertaan Sharman dalam misi Juno turut memperlihatkan bagaimana penerokaan angkasa lepas mampu merentasi sempadan negara ketika hubungan antara Britain dengan Kesatuan Soviet mula berubah.

Beliau menyifatkan rakan angkasawannya, Anatoly (Tolya) Artebartsky dan Sergei Krikalyov, sebagai sahabat paling rapat dan paling penting yang pernah bersamanya.

Ketika berada di Star City, Sharman turut menjalin hubungan rapat dengan beberapa tokoh perintis penerbangan angkasa lepas Russia, termasuk Alexei Leonov, manusia pertama yang berjalan di angkasa lepas.

Dalam memoirnya, Sharman menceritakan bagaimana Leonov mengiringi ketiga-tiga angkasawan itu ke tapak pelancaran pada 18 Mei sebelum menghadiahkannya sehelai sut terusan sifon merah jambu dengan bahagian hadapan berjumbai dan lengan kembang.

Beliau menggelar pakaian itu sebagai ‘pakaian impian’.

Leonov memberitahunya semua kru lazimnya menikmati makan malam bersama pada malam pertama di stesen angkasa.

“Malam pertama kamu berada di stesen angkasa, sudah menjadi tradisi untuk semua kru menikmati makan malam bersama. Saya fikir kamu mungkin mahu berpakaian cantik untuk makan malam itu,” katanya.

Setibanya di Mir, Sharman mengenakan pakaian berkenaan untuk jamuan meraikan kejayaan misi mereka, manakala Sergei memakai tali leher yang terapung mendatar sepanjang malam dalam keadaan tanpa graviti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini