KLANG: Kedua-dua laluan di Jalan Meru Tambahan, Meru di sini terhalang akibat ditenggelami banjir kilat sehingga 0.6 meter susulan hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, jalan dua lorong itu terhalang dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.24 petang sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar ke tempat kejadian.
“Komander operasi lapor sampai dilokasi kejadian didapati paras air berkedalaman dua kaki (0.6 meter). Kenderaan ringan tidak boleh melepasi jalan.Tidak melibatkan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, perkongsian penduduk di Facebook memaklumkan kejadian banjir kilat turut berlaku di Persimpangan Jalan Iskandar, Jalan Kempas dan kawasan berhampiran Felda Bukit Cherakah dekat Puncak Alam.
“Assalamualaikum. Elakkan lalu Jalan Meru Tambahan ke Puncak Alam dan Bukit Cherakah. Ada yang terkandas (akibat) banjir,” kata Siti Aishah menerusi hantarannya dalam grup Meru Klang Residents Official.
“Nama Bukit Ramli, Bukit Kapar, Bukit Cherakah, hujan lebat sudah banjir, bukit (sudah kena) gondol,” komen Hafiqz Hafiqz.
“Tak pernah-pernah banjir kawasan sana (Jalan Kemas). Tiba-tiba banjir pula,” kongsi seorang pengguna yang menggunakan tanda nama ‘IntelligentWallaby2520’. – UTUSAN











