Alif Daniel bertaubat, janji tidak ulangi perbuatan

Alif Daniel bertaubat, janji tidak ulangi perbuatan

MAJLIS Pengisytiharan Taubat (Istitabah) yang melibatkan tiga individu, iaitu Aliff Daniel Adli, Rohizayanti Ramli dan Nur Ranea Ezreen Adli di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam hari ini. -UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas pengamal perubatan tradisional, Aliff Danial Adli akhirnya bertaubat dan kembali ke jalan Islam yang sebenar dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Selain Alliff Daniel, ibunya, Rohizayanti Ramli, 52 dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, turut sama bertaubat pada majlis itu sambil mereka berjanji tidak mengulangi perkara sama.

Ketika lafaz taubat berkenaan, Aliff Daniel, 21, mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan yang bertentangan Islam sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut agama Hindu, iaitu dengan hanya memakan sayur dan minum air sahaja sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada tahun 2024.

“Saya lakukan perbuatan ini di Batu Caves atas alasan bernazar untuk kesembuhan ibu saya, kebahagiaan keluarga, penghapusan dosa dan penyucian diri.

“Dalam ritual itu, saya memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara di kuil,” katanya ketika membuat pengakuan tersebut.

Selain itu, dia turut mengakui pernah memberikan rawatan kepada orang awam, bukan mengikut perubatan Islam, sebaliknya merawat pesakitnya mengikut agama lain.

Sehubungan, Aliff Daniel berjanji tidak mengulangi kesemua perbuatan berkenaan pada masa akan datang, selain bertekad menjadi umat Islam yang lebih baik.

“Saya menyedari kelakuan saya (sebelum ini) bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr. Khadijah Mohd. Khambali@Hambali menjadi saksi kepada lafaz taubat tiga beranak itu.

Semalam Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat memerintahkan Aliff Daniel menjalani proses pemulihan akidah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Mohd. Faizal Habib memeritahkan dia menjalani proses tersebut di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Mal, Ulu Yam selama tiga bulan berkuat kuasa 4 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini