Ramai mahu jadi anak Papa Megah Holdings - Mustapha Kamal - Utusan Malaysia

Ramai mahu jadi anak Papa Megah Holdings – Mustapha Kamal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

ULU KELANG: Pelakon, Datuk Mustapha Kamal, tidak menyangka karakter ‘Papa Megah Holdings’ masih begitu kuat melekat dalam ingatan penonton, malah kembali mencetuskan fenomena di platform media sosial, Threads.

Lebih menarik, Mustapha kini mesra disapa ‘papa’, manakala rata-rata pengikutnya berseloroh mahu menjadi anak kepada figura usahawan berjaya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sendiri tidak percaya dengan penerimaan netizen. Bukan sahaja golongan muda, malah mereka yang dewasa turut sama. Mereka menganggap ‘Megah Holdings’ sebahagian daripada kehidupan harian sehingga terbawa-bawa dalam pergaulan.

“Sejujurnya, saya tidak pernah berniat untuk mencetuskan fenomena di Threads. Namun, apabila perkara ini berlaku, saya ikutkan sahaja.

“Saya terpaksa melayan dan membalas setiap komen kerana mereka begitu teruja,” katanya ketika ditemui pada majlis Tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-35, di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman berinteraksi dengan peminat di alam maya, Mustapha berkata, dia kini mempunyai ‘anak’ yang begitu ramai, malah ada antara mereka yang turut meminta nasihat berkaitan perniagaan.

Lucunya, pelakon itu mengakui terpaksa merujuk Google bagi memahami istilah perniagaan tertentu yang diajukan pengikutnya sebelum memberikan jawapan bersesuaian dengan imejnya sebagai pemilik syarikat besar.

“Kadang-kadang mereka bertanyakan soalan serius mengenai perniagaan.

“Saya sendiri perlu mencari maksud istilah berkenaan di Google supaya dapat memberikan jawapan yang tepat. Jadi, secara tidak langsung, ia menjadi satu tugas pula buat saya.

“Biasanya, saya akan meluangkan masa membalas pertanyaan dan melayan usikan mereka selepas selesai menunaikan solat Subuh. Itulah waktu yang saya ada untuk melayan ‘anak-anak’ saya ini,” ujarnya sambil ketawa.

Mengulas sama ada berasa ralat apabila sering dikaitkan dengan karakter sama, Mustapha berkata, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu masalah.

Sebaliknya, dia memahami penonton mengetahui dirinya pernah membawakan pelbagai watak sepanjang bergelar anak seni, namun mengakui karakter usahawan berjaya menerusi ‘Megah Holdings’ mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Mereka tahu saya pernah membawakan pelbagai watak, cuma karakter usahawan berjaya ini yang lebih mendapat perhatian. Saya tidak kisah selagi masih mampu menghiburkan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapha bakal memulakan penggambaran drama bersiri enam episod berjudul Badang untuk siaran Astro pada 20 Oktober ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini