Dua bakat TVET rangkul Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026

Dua bakat TVET rangkul Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua bakat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 atas kecemerlangan menguasai kemahiran tahap tertinggi dalam bidang masing-masing.

Tenaga pengajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kampus Taiping Mohd Raimi Masrom merangkul anugerah utama bagi kategori WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) menerusi bidang mekatronik.

Bagi kategori WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), anugerah berprestij itu dimenangi oleh pelatih GiatMARA Jengka Arissa Nabiha Nor Hisham yang mempamerkan kemahiran cemerlang dalam bidang mengecat kereta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak MATEPM 2026, yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan yang turut hadir pada majlis itu berkata MATEPM tahun ini menyaksikan penyertaan 1,787 peserta pada peringkat prakelayakan sebelum 493 peserta terbaik berentap pada peringkat akhir merangkumi 58 bidang kemahiran.

Beliau berkata penganjuran anugerah itu serta pertandingan kemahiran TVET yang lain membuktikan bidang itu kini bukan lagi sekadar laluan pendidikan alternatif, sebaliknya menjadi agenda strategik negara dalam melahirkan modal insan berdaya saing tinggi.

Ramanan berkata institusi latihan kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) seperti Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) terus mencatat prestasi cemerlang, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 98 peratus, serta indeks kepuasan majikan pada tahap 97.5 peratus.

“Ini mencerminkan keupayaan TVET dalam melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri.

“Oleh itu, menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Okt lalu, Perdana Menteri, telah mengumumkan peruntukan yang tertinggi iaitu sebanyak RM8 bilion bagi pembangunan TVET merentas kementerian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Ramanan berkata daripada jumlah itu, RM3 bilion diperuntukkan melalui HRD Corp bagi menyediakan tiga juta peluang latihan kemahiran, manakala RM500 juta disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai pelatih di institusi awam dan swasta.
“Kita mahu graduan mempunyai kemahiran yang boleh digunakan, mendapat pekerjaan yang baik dan menerima pendapatan yang setimpal dengan kebolehan masing-masing.

“Sebab itu, KESUMA menyambut baik pengumuman gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Langkah itu memastikan kemahiran dan kelayakan pekerja dinilai sewajarnya dan kerangka ini meliputi kategori pekerjaan MASCO (Malaysian Standard Classification of Occupations) 1 hingga 8, termasuk bidang profesional, teknikal, perkeranian, perkhidmatan, jualan, pertanian, pertukangan dan serta pengendalian mesin.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini