Sarawak sedia subsidi sehingga RM12,000 pasang panel solar di rumah - Utusan Malaysia

Sarawak sedia subsidi sehingga RM12,000 pasang panel solar di rumah

ABANG Johari Tun Openg berucap merasmikan penutupan Kongres Perancangan Kebangsaan (National Planning Congress NPC) 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sehingga RM12,000 bagi pemasangan panel solar di bumbung kediaman bagi membantu isi rumah mengurangkan perbelanjaan bil elektrik bulanan.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah kerajaan negeri memastikan manfaat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui turut dinikmati rakyat dan tidak terhad kepada industri besar dan pelabur semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Katanya, pemasangan panel solar yang bersesuaian membolehkan isi rumah menjana sebahagian daripada keperluan elektrik sendiri dan mengurangkan perbelanjaan bulanan.

 

“Di Sarawak, kami mengambil langkah praktikal untuk membawa manfaat tenaga boleh diperbaharui lebih dekat kepada isi rumah, termasuk subsidi sehingga RM12,000 bagi pemasangan solar di bumbung kediaman.

 

“Dengan menyokong pemasangan solar di bumbung yang bersesuaian, kami berhasrat memberi peluang kepada isi rumah menjana sebahagian keperluan elektrik mereka dan mengurangkan perbelanjaan elektrik bulanan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan National Planning Congress 2026 & MyCity Expo 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, peralihan kepada tenaga hijau bukan sekadar agenda pembangunan industri atau alam sekitar, sebaliknya perlu memberi manfaat nyata kepada kehidupan seharian rakyat.

 

Katanya, ekonomi hijau juga seharusnya membantu meningkatkan kemampuan kewangan dan kualiti hidup isi rumah.

 

“Apabila sesebuah keluarga mendapat manfaat daripada pengurangan perbelanjaan elektrik, peralihan tenaga menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian yang bermakna dan bukannya sekadar aspirasi dasar yang abstrak.

 

“Tanggungjawab kita adalah untuk merangka dasar yang mampan dari segi kewangan, kukuh dari sudut teknikal dan boleh diakses oleh masyarakat yang ingin dibantu,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini