TELUK INTAN: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan terhadap tiga individu pada Disember 2025 dan September lalu.
Tertuduh, P. Mohan Raash, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa telah merompak seorang wanita warga emas berusia 65 tahun dengan menakut-nakutkannya bahawa dia dan ahli keluarganya akan ditembak.
Ketika melakukan perbuatan itu, tertuduh memaksa mangsa bersama seorang lagi wanita berusia 27 tahun menyerahkan barang kemas berupa seutas rantai emas, sepasang subang emas, seutas gelang tangan emas dan dua bentuk cincin emas.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di jalan lorong kebun kelapa sawit, Bagan Lalang di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 8.30 pagi, 5 Disember 2025.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah merompak seorang lelaki berusia 53 tahun dengan mendatangkan ketakutan kepadanya dengan cara menampar muka dan menarik rambut sebelum mendorong mangsa menyerahkan seutas rantai leher dan sepasang subang emas.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah tadika di Kampung Kamatchy Batu 9, Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 7.28 pagi, 17 September 2026.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rafidah Che Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Terence Naidu.
Hakim Rafidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Disember depan. – UTUSAN











