Krisis bekalan: Pengajaran dari kisah Nabi Yusuf

Krisis bekalan: Pengajaran dari kisah Nabi Yusuf

DALAM al-Quran, Nabi Yusuf mengarahkan agar menyimpan hasil tanaman pada tahun-tahun subur untuk menghadapi tujuh tahun kemarau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dunia menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global dan harga barang yang tidak menentu, kisah Nabi Yusuf lebih 3,000 tahun lalu sebenarnya memberikan panduan yang sangat relevan untuk Malaysia hari ini.

Baginda telah berjaya membina sistem simpanan makanan yang tersusun dan menguruskan krisis dengan bijaksana. Persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar mengamalkan prinsip tersebut?

Malaysia sering digembar-gemburkan sebagai negara yang kaya dengan sumber makanan. Namun realitinya, kita masih bergantung pada beras import untuk menampung keperluan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah stok fizikal beras dalam negara adalah sebanyak 917,937 tan metrik, merangkumi stok penimbal negara sebanyak 200,000 tan metrik dan stok dagangan 717,937 tan metrik. Jumlah ini hanya mampu menampung keperluan negara selama 4.59 bulan.

Angka ini bukan sesuatu yang membanggakan. Dalam al-Quran, Nabi Yusuf mengarahkan agar menyimpan hasil tanaman pada tahun-tahun subur untuk menghadapi tujuh tahun kemarau. Prinsipnya mudah: Simpan ketika senang, gunakan ketika susah.

Namun, sistem kita masih belum mencapai tahap ketahanan yang optimum. Kerajaan sendiri mengakui bahawa kadar sara diri beras negara pernah menurun kepada 56 peratus, antara lain disebabkan kehilangan kira-kira 20,000 hektar tanah sawah akibat pembangunan.

Selain makanan, satu lagi cabaran besar ialah pengurusan hutang negara. Jumlah keseluruhan hutang Persekutuan pada tahun 2025 mencatatkan RM1,320,776 juta, meningkat sebanyak RM73,162 juta atau 5.86 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bayaran khidmat hutang juga meningkat kepada RM53,711 juta.

Angka-angka ini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi ia mencerminkan satu realiti: Kita sedang berbelanja melebihi kemampuan. Nabi Yusuf tidak pernah membiarkan Mesir terjerumus dalam hutang ketika menghadapi krisis.

Sebaliknya, baginda memastikan hasil disimpan, diagihkan dengan adil, dan tidak dibazirkan. Prinsip ini sepatutnya menjadi asas kepada dasar fiskal kita hari ini.

Secara umumnya, ada tiga perkara yang boleh dipelajari dari sistem tadbir urus Nabi Yusuf. Pertama, keutamaan harus diberikan kepada pembinaan stok penimbal yang mencukupi.

Malaysia telah menetapkan stok penimbal beras sebanyak 200,000 tan metrik, tetapi dengan keperluan bulanan yang tinggi, kapasiti ini perlu dinilai semula.

Dunia sedang menyaksikan nisbah stok-penggunaan bijirin global dijangka meningkat kepada 31.1 peratus pada 2025/2026, bermakna bekalan global sebenarnya bertambah baik. Namun, pergantungan kepada pasaran global tetap berisiko apabila berlaku krisis geopolitik atau bencana alam.

Kedua, dasar pertanian perlu diperkukuh. Kenaikan harga lantai padi yang diumumkan baru-baru ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Langkah ini wajar diteruskan, tetapi ia perlu disertai dengan pelaburan dalam teknologi pertanian, penyelidikan benih, dan pemulihan tanah terbiar.

Ketiga, disiplin fiskal perlu diutamakan. Hutang negara yang melebihi RM1.3 trilion memerlukan keberanian politik untuk melakukan pembaharuan struktur. Nabi Yusuf memulakan reformasi ekonomi ketika Mesir masih dalam keadaan stabil, bukan ketika krisis sudah melanda.

Begitu juga, Malaysia perlu bertindak sekarang, bukan menunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk.

Adakah kita mahu belajar daripada sejarah, atau terus mengulangi kesilapan yang sama? – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan
Pensyarah Kewangan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini