JERANTUT: Polis daerah ini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan gangguan ketukan pintu rumah secara misteri yang tular di media sosial beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 1.30 pagi 29 Oktober lalu melibatkan sekurang-kurangnya 20 buah rumah di Kampung Sajang (Simpang Tebing Tinggi), Kampung Kajang dan Kampung Perias di sini.
“Polis sedang mengambil langkah sewajarnya bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan berkenaan serta mengesan pihak atau individu yang mungkin terlibat.
“Bagi meredakan kerungsingan penduduk kami telah mempergiat rondaan dan kawalan di kawasan berkenaan, khidmat nasihat keselamatan serta pertemuan bersama pemimpin masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Sajang, Safarudin Yusof, 59, berkata, tiada sebarang kelibat individu dikesan menerusi pemeriksaan fizikal di luar rumah mahupun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk sewaktu kejadian berlaku sekali gus menimbulkan tanda tanya.
“Bagaimanapun sehingga ini tiada berlaku sebarang kejadian seperti kecederaan atau kehilangan harta benda dilaporkan di tiga buah kampung berkenaan.
”Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk kampung mula menyalakan lampu di halaman rumah masing-masing pada waktu malam bagi meningkatkan tahap keselamatan kawasan kediaman mereka,” katanya.. – UTUSAN











