Pembangunan bandar tidak boleh pinggir nilai kemanusiaan

Pembangunan bandar tidak boleh pinggir nilai kemanusiaan

Laporan Felda
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan dan pembangunan bandar tidak seharusnya meminggirkan nilai kemanusiaan serta kebajikan rakyat selaras dengan gagasan Malaysia Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecekapan dan prestasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) wajar dijadikan contoh bagi menambah baik perancangan perbandaran agar tidak hanya tertumpu kepada kemegahan struktur fizikal semata-mata.

“Bila kita bicara soal perancangan fizikal dan bandar, ini soal kehidupan, soal manusiawi, soal terkait dengan keyakinan kita dalam agama, dalam nilai, dalam akhlak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang kita datang kerja, pulang, kita lupa bahawa sebenarnya pembangunan kota itu pembangunan insan, pembangunan manusia, pembangunan yang membantu menegakkan iman dan akhlak kita jadi prinsip kemanusiaan terus ada,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di sini hari ini.

Anwar berkata, usaha mempertingkat kehijauan dalam perancangan bandar di samping menyediakan kemudahan asas kekal menjadi antara cabaran utama dihadapi kerajaan.

Beliau memberikan contoh bencana banjir yang lazimnya melanda kawasan pinggir bandar sehingga membawa kesan paling parah kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kalau lihat umpamanya kesan banjir, selalunya di pinggir bandar yang lebih parah, yang memberikan kesan kepada orang-orang yang miskin.

“Kalau negeri (contohnya) Kelantan, Terengganu, walaupun saya sudah tahu perbezaan daripada segi politik, saya tidak peduli. Saya masih beri tumpuan besar bagi menyelesaikan masalah rakyat, termasuk masalah banjir dengan projek tebatan banjir,” kata beliau.

Anwar berkata, kejayaan sesuatu perancangan tidak seharusnya hanya diukur menerusi piawaian antarabangsa, sebaliknya perlu diterjemahkan pada peringkat akar umbi bagi membuktikan kekuatan sesebuah kawasan perbandaran.

“Sama ada bandar raya ataupun perbandaran, itu menjadi kekuatan. Lambat kita laksanakan, lambatlah erti kemajuan. Lemah dan cuai, dan budaya angkut harta yang haram, mencuri harta rakyat, melengahkan keputusan, maka akan menjadi satu beban yang tidak memberikan makna kepada perancangan,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertugas dengan penuh integriti dan keikhlasan, sekali gus mengangkat martabat diri, masyarakat serta bandar yang mereka tadbir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini